PM Anwar kenang Naquib al-Attas: Pemikir besar yang mencabar sekularisasi ilmu
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Profesor Diraja Tan Sri Syed Muhammad Naquib al-Attas yang disifatkannya sebagai antara pemikir teragung pada zaman ini.
Anwar berkata, tokoh intelektual Islam itu bukan sahaja dikenali sebagai ahli falsafah yang besar pengaruhnya, malah seorang sarjana yang mengajak umat manusia berfikir bukan sekadar tentang apa yang diketahui, tetapi juga tujuan sebenar ilmu itu sendiri.
Menurutnya, melalui karya-karya penting seperti Islam and Secularism serta karya agungnya Prolegomena to the Metaphysics of Islam, Naquib al-Attas berjaya mencabar arus sekularisasi ilmu dan meletakkan asas intelektual yang kukuh bagi pembinaan pandangan alam Islam.
“Malaysia mendengar gagasan beliau. Dunia Islam juga mendengarnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pemergian Naquib al-Attas pada malam ke-19 Ramadan pada usia 95 tahun merupakan kehilangan besar kepada dunia intelektual, namun menyifatkan hayat yang dilalui tokoh itu sebagai sebuah kehidupan yang penuh makna.
“Bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah yang setulusnya kepada keluarga beliau serta kepada semua yang pernah menimba ilmu daripadanya.
“Semoga Allah SWT mengurniakan rahmat-Nya dan menempatkan beliau pada darjat tertinggi dalam kalangan orang-orang yang soleh. Al-Fatihah,” kata Perdana Menteri lagi.
BACA JUGA Pindaan Enakmen Syariah Kelantan hampir dimuktamadkan