SPR perlu perbetulkan ketidakseimbangan kerusi Parlimen sebelum PRU16 – Suhaizan

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia perlu melakukan pembetulan segera dalam isu ketidakseimbangan kerusi Parlimen supaya perubahan tersebut boleh dikuatkuasakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.

Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat berkata, terdapat keperluan mendesak supaya SPR menggunakan satu prinsip yang jelas iaitu kerusi Parlimen terbesar tidak boleh mempunyai bilangan pengundi dua kali ganda lebih besar berbanding kerusi yang paling kecil.

Pada masa ini, perbezaan bilangan pengundi antara kawasan Parlimen sangat ketara.

Suhaizan memberi contoh beberapa kerusi Parlimen yang mempunyai bilangan pengundi terlalu ramai seperti di Bangi, Kota Raja dan beberapa kawasan di Lembah Klang.

Pada pilihan raya tahun 2022 sahaja, Parlimen Bangi mempunyai 246,795 pengundi. Kerusi ini dimenangi oleh Syahredzan Johan dari DAP dengan majoriti hampir 70,000 undi.

Begitu juga dengan Parlimen Kota Raja yang dimenangi oleh Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu, dengan majoriti 73,998 undi.

Di seluruh Lembah Klang juga terdapat banyak kawasan yang sangat padat dengan pengundi seperti Titiwangsa, Shah Alam, Damansara, Petaling Jaya, Wangsa Maju dan Ampang. 

Sebaliknya, terdapat kerusi yang jauh lebih kecil seperti Sik di Kedah dan Jeli di Kelantan, di mana calon Pas atau Perikatan Nasional bertanding dalam kawasan yang mempunyai kurang daripada 50,000 pengundi secara keseluruhan.

Keadaan ini kata Suhaizan, menunjukkan wujudnya pembahagian undi yang tidak seimbang dan perlu ditangani oleh SPR.

“Tidak adil untuk menghukum pengundi bandar dengan menjadikan undi mereka kurang bernilai berbanding pengundi di kawasan yang jauh lebih kecil.

“Saya memahami hujah yang sering dibangkitkan bahawa beberapa kawasan di Sarawak, seperti Batang Sadong, mempunyai keluasan geografi yang sangat besar sehingga ada yang lebih luas daripada negeri Selangor. 

“Namun hujah ini tidak terpakai bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia. Hakikatnya, ketidakseimbangan ini sudah lama terbina dalam sistem pilihan raya kita.

“Kesilapan masa lalu perlu diperbetulkan dalam proses persempadanan yang sedang dijalankan tahun ini. Pembetulan ini perlu dilakukan segera supaya perubahan tersebut boleh berkuat kuasa sebelum pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA JUGA Anwar sempat beri penghormatan terakhir, sertai solat jenazah Naquib al-Attas