100 nelayan Sepang terima sumbangan Rahmah Ramadan, LKIM galak berani berniaga
Seramai 100 asnaf termasuk nelayan di bawah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sepang disantuni dalam Program Rahmah Mesra MADANI Ramadan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang turut diselaraskan dengan sumbangan zakat perniagaan Agrobank.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, program tersebut merupakan sebahagian usaha berterusan kerajaan dan agensi berkaitan untuk membantu golongan nelayan serta memperkukuh kesejahteraan sosioekonomi mereka.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir itu berkata, setiap penerima menerima sumbangan zakat perniagaan Agrobank sebanyak RM150 bersama sekotak kurma yang disumbangkan oleh LKIM.
“Selain itu, dengan kerjasama baik dengan kerajaan negeri Selangor yang turut prihatin kepada kumpulan nelayan, menyerahkan sumbangan pukat kepada 22 nelayan Sepang dengan peruntukan sebanyak RM1,000 seorang,” katanya menerusi kenyataan sebentar tadi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Agrobank yang memilih komuniti nelayan Sepang sebagai penerima zakat bagi tahun ini.
Dalam masa sama, Faiz berkongsikan intipati ucapan beliau dalam program itu yang menegaskan kepentingan memodenkan industri perikanan agar nelayan mampu meningkatkan hasil dan taraf hidup mereka.
Katanya, nelayan boleh memanfaatkan kemudahan pembiayaan yang disediakan Agrobank seperti Program Pemodenan Vessel dan Mekanisasi Tangkapan (PVMT) yang menawarkan pinjaman sehingga RM5 juta.
“Saya tekankan bahawa nelayan harus berani untuk berniaga bagi mengubah kedudukan ekonomi mereka.
“Nelayan perlu berani membuat perubahan minda untuk membuat pinjaman dalam memulakan perniagaan,” ujarnya.

Faiz turut menekankan agenda 1 Persatuan 1 Produk (1P1P) yang digagaskan LKIM, yang menggalakkan setiap persatuan nelayan menerajui projek ekonomi berasaskan perikanan.
Langkah itu, katanya, penting bagi memastikan industri perikanan terus dikuasai masyarakat tempatan khususnya nelayan Melayu.
Prestasi memberangsangkan
Sementara itu, Faiz berkata, sektor perikanan di Selangor terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila jumlah tangkapan dan pendaratan ikan pada 2024 mencecah 89,774 tan metrik, menjadikannya keempat tertinggi di negara ini.
Di Sepang, jelasnya, keupayaan perikanan marin disokong oleh 47 vesel Zon A yang beroperasi di kawasan pesisir pantai dengan keahlian PNK Sepang seramai 179 nelayan.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 58 nelayan menerima elaun sara hidup, manakala 11 rumah nelayan telah dibaik pulih di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan sepanjang tempoh 2012 hingga 2025.
“Kepedulian LKIM dan kerajaan perpaduan berasaskan agenda Malaysia Madani kepada golongan nelayan terus disuburkan,” katanya.
Dalam masa sama, Faiz mengingatkan bahawa Ramadan merupakan madrasah untuk meningkatkan ketakwaan dan menyeru masyarakat menjadikan al-Quran serta hadis sebagai panduan dalam memperkukuh kekuatan diri dan umat.
“Selain itu, perlumbaan membuat kebajikan ‘fastabiqul khairat’ amat digalakkan syariat bagi membentuk kekuatan umat terutama dari sudut mengukuhkan sosio ekonomi orang Melayu,” kata Faiz lagi.
BACA JUGA KKM perkasa garis panduan tangani salah laku di tempat kerja susulan kematian doktor pelatih