Isu kuil: Usah bakar keamanan buat modal politik

Oleh AHMAD MURSI

Pertama, kita perlu jujur, memang wujud isu kuil tidak sah dan pencerobohan tanah di negara ini.

Isu ini sudah berlarutan sekian lama di banyak negeri di bawah pelbagai kerajaan BN-PN-PH.

Di Kedah pun banyak kuil dibina di atas tanah persendirian seperti didedahkan menerusi Facebook, aktivis Aman Muhammad.

PMX sendiri sudah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyelesaikan isu ini segera mengikut saluran undang-undang.

Niat individu tertentu ingin membanteras isu pencerobohan tanah oleh kuil ini baik, malah ada juga masyarakat india sendiri yang bersetuju perlu dihentikan.

Cuma apabila Tamim Dahri memijak simbol agama lain, bagi saya dia sudah terlajak dan boleh menimbulkan mudarat yang lebih besar malah dilarang oleh agama.

Firman Allah: “Jangan kamu hina sembahan yang mereka sembah selain Allah. Nanti mereka pula akan menghina Allah dalam keadaan marah dan jahil”. (Al-An’am:108)

Sama ada simbol Islam atau mana-mana agama lain, tindakan provokasi memijak atau menghina simbol keagamaan tidak wajar dilakukan oleh sesiapa sekalipun.

Kerana provokasi hampir pasti akan mengundang reaksi balas, keadaan mudah bertukar daripada isu pentadbiran PBT kepada konflik antara kaum.

Tindakan samseng atau keganasan membakar kereta juga tidak patut dibiarkan tanpa didakwa.

Kini aktor politik pula sudah tidak berselindung menunggang isu ini untuk mobilisasi politik.

Cikgu Candra yang dibakar keretanya, sebelum ini umum menyertai DHPP Pas.

Portal politik, TV Pertiwi yang dikaitkan dengan pertubuhan politik juga mula mewawancaranya untuk memanaskan lagi isu ini.

Pemuda Pas Selangor sudah mengumumkan untuk melakukan mobilisasi berkaitan isu tersebut.

Apabila timbul isu perkauman, siapa yang dapat laba? Nanti tahulah kita itulah dalangnya.

Akhirnya masyarakat kena pilih:

Sama ada menyokong pihak tertentu memanaskan lagi api sentimen sehingga berlaku pergaduhan antara kaum untuk mobilisasi politik.

Atau menyokong pihak berkuasa khasnya PBT mengurus isu ini mengikut lunas undang-undang, sambil memastikan keamanan terpelihara.

BACA JUGA Sheikh Omar mohon maaf kepada penganut Hindu, kecam tindakan pijak ‘soolam’