KPDN beri amaran peniaga: Perihal dagangan palsu emas boleh didenda hingga RM1 Juta

FOTO BERITA: Operasi Pemeriksaan ke atas premis menjual logam berharga (Emas) diketuai oleh En. Mohd Sabri Saman, Pengarah KPDN WPKL di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.10hb Mac 2026 (Selasa)

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya telah menjalankan operasi pemeriksaan ke atas premis yang menjual logam berharga di sekitar Jalan Masjid India hari ini.

Operasi tersebut diketuai oleh Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman, sebagai langkah memastikan pematuhan undang-undang perdagangan serta melindungi pengguna menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026.

Sepanjang pemeriksaan dijalankan, antara tiga hingga enam sampel logam berharga dipilih secara rawak daripada setiap premis untuk diuji menggunakan alat X-Ray Fluorescence (XRF) bagi mengesahkan standard ketulenannya. Hasil pengujian mendapati kesemua sampel logam berharga yang diuji mematuhi tahap ketulenan seperti yang ditandakan dengan peratusan komposisi sebenar.

Selain itu, pemeriksaan terhadap alat penimbang di setiap premis turut mendapati kesemuanya masih berada dalam tempoh sah penentusahan. Harga semasa logam berharga juga dipamerkan dengan jelas di semua premis yang diperiksa, selaras dengan keperluan ketelusan harga kepada pengguna.

KPDN turut memeriksa resit jualan yang dikeluarkan oleh premis terbabit dan mendapati setiap resit mengandungi kesemua 10 perkara wajib seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Artikel-Artikel Yang Diperbuat Daripada Logam Berharga) 1994.

Antara maklumat wajib tersebut termasuk nama dan alamat penuh pembekal, tarikh pembelian, jenis artikel, standard ketulenan, harga logam berharga bagi setiap gram, berat artikel, harga artikel, kos pembuatan (jika ada), tandatangan jurujual serta perihal bahagian artikel yang dibuat daripada logam berharga berlainan standard ketulenannya jika berkenaan.

Menurut KPDN, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati membuat perihal dagangan palsu berkaitan kandungan, jenis atau nama logam berharga di bawah Seksyen 5(1)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730].

Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan berikutnya, denda boleh meningkat sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah sehingga RM500,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM1 juta bagi kesalahan berikutnya.

KPDN menegaskan komitmennya untuk terus mempergiat penguatkuasaan bagi membanteras amalan perniagaan yang mengelirukan dan menipu pengguna, khususnya dalam penjualan barangan logam berharga.

Orang ramai juga disaran menyalurkan maklumat atau aduan kepada KPDN melalui talian hotline 1-800-886-800, aplikasi EzADU KPDN, WhatsApp 019-848 8000 atau portal e-Aduan KPDN bagi memastikan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara.