Sheikh Omar mohon maaf kepada penganut Hindu, kecam tindakan pijak ‘soolam’
Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP Pusat, Sheikh Omar Ali memohon maaf kepada penganut Hindu di Malaysia atas insiden memijak ‘Soolam’ yang merupakan simbol keagamaan Hindu.
Naib Pengerusi DAP Johor berkenaan berkata, Islam merupakan agama yang membawa rahmat dan mempromosikan keharmonian, bukannya perpecahan atau permusuhan antara masyarakat.
“Saya juga ingin tegaskan bahawa perbuatan tersebut tidak menggambarkan ajaran Islam.
“Islam tidak mengajar umatnya ‘membakar’ rakyat dan negara dengan api perkauman dan keagamaan sempit,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular satu klip video yang memaparkan individu memijak ‘soolam’ atau ‘Trisula’ di lokasi tidak dikenal pasti, sekali gus mengundang gelombang laporan polis dan kemarahan masyarakat Hindu.
Mengulas lanjut, Sheikh Omar menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan profesional berlandaskan undang-undang bagi meredakan ketegangan serta mengelakkan isu berkenaan dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau menegaskan bahawa perbuatan tersebut sama sekali tidak mencerminkan ajaran Islam serta berisiko mencetuskan ketegangan antara penganut agama dalam masyarakat majmuk di negara ini.
Menurutnya, Malaysia dibina atas asas saling menghormati antara agama dan budaya, justeru sebarang tindakan yang menghina atau memperlekeh simbol keagamaan mana-mana pihak tidak boleh diterima sama sekali.
Dalam masa sama, Sheikh Omar menyedari terdapat pandangan yang mengaitkan insiden memijak ‘Soolam’ itu sebagai reaksi terhadap kes pelajar sebuah universiti memijak al-Quran yang berlaku sebelum ini.
Namun, katanya, insiden tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan sebarang bentuk tindak balas yang menghina simbol agama lain.
BACA JUGA Kes bankrap NFCorp: Apa tindakan Rafizi, Mohamad Salleh?