Ahli LPP dapat duit raya

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu hari ini mengumumkan pengeluaran Perintah Khas bagi membolehkan pembahagian keuntungan Pertubuhan Peladang bagi Tahun Kewangan Beraudit 2024 dilaksanakan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menurut beliau, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) telah mencatat keuntungan sebanyak RM221 juta bagi tahun kewangan 2024, iaitu jumlah tertinggi sejak penubuhannya pada tahun 1972.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa berikutan penggantungan yang masih berkuat kuasa, Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan. Keadaan itu sekali gus menjejaskan proses pengagihan keuntungan kepada anggota mengikut tatacara biasa.
Sehubungan itu, menteri menggunakan kuasa di bawah Seksyen 27(2) Akta Pertubuhan Peladang 1973 bagi mengeluarkan Perintah Khas yang membolehkan agihan keuntungan dibuat secara sah dan teratur.
Sebanyak 212 Pertubuhan Peladang di seluruh negara dikenal pasti layak melaksanakan pembahagian keuntungan tersebut, melibatkan jumlah keseluruhan dianggarkan RM25.8 juta yang bakal memberi manfaat langsung kepada lebih 400,000 anggota peladang.
Mohamad Sabu menegaskan keputusan itu dibuat dengan mengambil kira kepentingan anggota peladang supaya hak mereka tidak terjejas akibat isu tatakelola yang sedang ditangani ketika ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa Perintah Khas berkenaan merupakan langkah khusus dan hanya terpakai bagi Tahun Kewangan Beraudit 2024 sahaja, manakala tatacara lanjut berkaitan pembayaran akan dimaklumkan oleh pihak Pertubuhan Peladang dalam masa terdekat.