‘Aura PMX macam aura arwah Tuan Guru Nik Aziz ketika jumpa rakyat’

Aktivis Syam Ghaz menolak dakwaan seorang penyokong Perikatan Nasional (PN) yang mempersoalkan sambutan rakyat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatan ke Kedah baru-baru ini.

Menurutnya, beliau sendiri menjadi saksi kehadiran Anwar bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika menziarahi Bazar Ramadan Taman Selasih di Kulim.

Katanya, suasana pada ketika itu jelas memperlihatkan orang ramai berebut untuk bersalaman dan mengambil gambar bersama Perdana Menteri.

“Situasi masa itu memang ketara, rakyat berebut nak bersalam dan selfie dengan PMX dan Datuk Seri Saifuddin.

“Satu vibe yang luar biasa dan jarang berlaku, terutamanya di Kedah yang diperintah Pas yang selama ini Pas rasa mereka kuat, kali ini tidak lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Syam atau nama sebenarnya Mohd Hisyamuddin Ghazali turut mendakwa aura Anwar pada hari tersebut begitu menonjol sehingga kehadiran Sanusi sebagai Menteri Besar Kedah seolah-olah tenggelam di sebalik sambutan orang ramai.

Beliau turut membandingkan aura Perdana Menteri itu dengan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menurutnya pernah menerima sambutan luar biasa daripada rakyat suatu ketika dahulu.

“Aura PMX sebiji aura arwah Tuan Guru Nik Aziz masa dulu bila jumpa rakyat.

“Lihat sendiri video yang dikongsi oleh peniaga, rakyat dan portal-portal yang rakyat sendiri rakam sampai ratus ratus ribu view setiap video, jika total semua lebih jutaan tontonan. Ini jarang berlaku.

“Paling dahsyat, majoriti komen sangat positif, suka kehadiran PMX dengan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari itu,” katanya.

Peruntukan meningkat

Dalam masa sama, Syam Ghaz menempelak individu yang menyindir kehadiran Perdana Menteri ke Kedah sebagai tentera siber PN.

Beliau menegaskan bahawa Perdana Menteri mengajak Sanusi hadir ke mesyuarat di Majlis Perbandaran Kulim serta meluluskan berpuluh juta peruntukan untuk rakyat Kedah walaupun negeri itu ditadbir oleh pembangkang.

Jelasnya, bagi tahun 2026 sahaja, Kedah menerima peruntukan lebih RM2.218 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), meningkat lebih RM100 juta berbanding sebelum ini.

Katanya, sekolah pondok di negeri itu turut menerima lebih RM2 juta, manakala keseluruhan Sekolah Agama Rakyat (SAR) menerima peruntukan melebihi RM200 juta.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak menghentikan budaya sindir-menyindir dan caci maki, khususnya sepanjang bulan Ramadan.

“Kita lawan prestasilah, hentikan caci maki bulan Ramadan ini.

“Insya-Allah, gelombang perubahan telah landa Negeri Kedah. Berubah kali ini di PRU16.
Jalan terus, ambil alih Kedah,” ujar Syam Ghaz lagi.

BACA JUGA Ahli politik Terengganu didakwa seleweng dana Projek Sejati MADANI masuk akaun sendiri