‘Dickie Borneo’ pula pijak al-Quran, ini tindakan segera MCMC

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melaksanakan siasatan segera susulan penyebaran visual di platform Threads dan Facebook yang memaparkan tindakan biadab seorang individu memijak al-Quran.

MCMC menegaskan perbuatan jahat itu bukan sahaja menghina agama Islam, malah berpotensi mencetuskan ketegangan serta menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Dalam kenyataan media hari ini, MCMC berkata, semakan awal mendapati hantaran asal tersebut telah dipadam.

Akaun yang terlibat dipercayai menggunakan nama Dickie Borneo tidak dapat dikesan, namun MCMC memaklumkan bahawa siasatan lanjut akan diteruskan.

Untuk rekod, akaun ‘Dickie Borneo’ yang turut menghina Nabi Muhammad SAW dan keluarga Baginda itu difahamkan merupakan akaun palsu dari Sabah.

Menerusi kenyataan sama, MCMC turut memaklumkan hasil pemantauan lanjut mengenal pasti beberapa hantaran lain yang mengandungi unsur penghinaan agama dipercayai melibatkan individu sama dalam sebuah kumpulan media sosial.

Menurut MCMC, semua kandungan terbabit akan dijadikan sebagai bahan bukti bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

“MCMC kini sedang bekerjasama dengan platform media sosial bagi mendapatkan maklumat pemilik akaun untuk mengenal pasti individu terlibat.

“MCMC turut bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tindakan tegas dan segera dapat diambil,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, MCMC menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan semula kandungan yang boleh mencetuskan ketegangan serta menjejaskan ketenteraman awam.

Suruhanjaya itu juga menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang kandungan yang menghina agama, menghasut kebencian atau menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja, dan tindakan tegas boleh dikenakan di bawah undang-undang sedia ada.

BACA JUGA Langkah proaktif kerajaan tangani impak kenaikan harga minyak dunia dipuji