Harga petrol melambung lepas Selat Hormuz ditutup, rakyat AS tanggung beban
Harga petrol di Amerika Syarikat (AS) kini melambung, mengakibatkan rakyat Amerika menanggung beban kos yang lebih tinggi akibat serangan AS-Israel ke atas Iran.
Ia selepas Tehran menutup Selat Hormuz, sekali gus melumpuhkan trafik perkapalan yang melalui satu daripada titik transit minyak paling kritikal di dunia.
Memetik Bernama, lalu lintas kapal tangki di rantau itu terhenti sepenuhnya, sekali gus menjejaskan kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak global serta penghantaran daripada pengeluar utama seperti Arab Saudi, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Iraq.
Malah, beberapa loji penapis minyak dilapor menghentikan pengeluaran sebahagiannya, manakala yang lain bertungkus lumus menambah stok simpanan mereka.
Susulan tindakan AS-Israel, serangan balas Tehran ke atas infrastruktur tenaga negara-negara jiran terus memburukkan lagi krisis bekalan itu.
Harga minyak mentah Brent meningkat kepada lebih AS$114 setong sejak konflik bermula, malah mencecah setinggi AS$120 pada Isnin lalu.
Penganalisis berpendapat harga minyak mentah Brent boleh mencecah hingga AS$150 setong jika serangan ketenteraan di Asia Barat berterusan dan gangguan bekalan tidak dipulihkan.
Menurut portal Anadolu, setiap kenaikan AS$1 bagi setiap tong minyak, akan mendorong kenaikan harga petrol di AS sebanyak 2.5 sen.
Data Persatuan Automobil Amerika (AAA) menunjukkan purata harga petrol di AS melonjak 16 peratus berbanding minggu lalu, kepada AS$3.48 segelen.
Sebagai perbandingan, purata harga petrol adalah AS$2.99 segelen seminggu lalu dan AS$2.9 sebulan lalu.