Ramadan waktu tingkat iman dan integriti penjawat awam – Mohamad Sabu

FOTO BERITA: Sesi Tazkirah Ramadhan oleh YB Datuk Seri Hj. Mohamad Sabu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sempena Perjumpaan bersama warga KPKM di Dewan Serbaguna Wisma Tani Putrajaya. 10hb Mac 2026 (Selasa)

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu menyampaikan sesi tazkirah Ramadan sempena Majlis Perjumpaan bersama warga kementerian yang berlangsung di Dewan Serbaguna Wisma Tani, hari ini.

Majlis yang menghimpunkan kepimpinan tertinggi dan warga kerja kementerian itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isyam Ishaq, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Datuk Lokman Ahmad, pengerusi agensi-agensi di bawah kementerian, ketua-ketua jabatan serta rakan strategik media

Majlis turut diserikan dengan penyampaian sumbangan kepada anak yatim dan asnaf daripada Pusat Jagaan Mesra Asalam sebagai sebahagian daripada usaha kementerian menyemarakkan semangat kebersamaan dan kepedulian sepanjang bulan Ramadan.

Dalam tazkirah tersebut, beliau mengingatkan warga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) agar memanfaatkan sepenuhnya 10 malam terakhir Ramadan dengan memperbanyakkan amal ibadah, termasuk membaca dan mengkhatamkan al-Quran.

Menurutnya, bulan Ramadan merupakan peluang terbaik untuk meningkatkan keimanan serta memperbaiki amalan sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Sekurang-kurangnya dalam bulan Ramadan ini kita berusaha mengkhatamkan bacaan al-Quran sebanyak 30 juzuk. Jika mampu melakukannya lebih daripada sekali, itu lebih baik,” katanya ketika menyampaikan tazkirah di hadapan warga kementerian.

Mohamad Sabu turut menyentuh mengenai konsep kepimpinan dan kekuasaan dalam sejarah manusia. Beliau menjelaskan bahawa sejak zaman awal kewujudan manusia, sistem kepimpinan dan pemerintahan telah wujud bagi mengatur kehidupan masyarakat.

Beliau memberi contoh beberapa kisah dalam sejarah dan al-Quran yang menunjukkan bagaimana sesebuah kerajaan atau kuasa boleh jatuh apabila pemimpinnya bersifat melampaui batas serta melakukan kerosakan di muka bumi.

Menurut beliau, sejarah seperti kisah kaum terdahulu dan pemerintahan Firaun menunjukkan bahawa kekuasaan tidak akan kekal jika disalahgunakan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan warga kementerian agar sentiasa mengamalkan nilai integriti, amanah dan tanggungjawab dalam melaksanakan tugas sebagai penjawat awam.

Majlis tersebut menjadi platform memperkukuh ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga KPKM di samping menghayati pengisian rohani sepanjang bulan Ramadan. Majlis berakhir dengan solat maghrib berjamaah dan jamuan makan.