5 fakta menarik tentang Datuk Marina Md Yusoff yang ramai tidak tahu

Ibu pelakon Ida Nerina, iaitu Datuk Marina Md Yusoff dilapor meninggal dunia pada usia 84 tahun akibat sakit tua, semalam.

Mantan ahli politik dan usahawan itu menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur, pada jam 5.16 petang.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara pada pagi ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, secara peribadi, beliau banyak belajar tentang selok-belok perjuangan politik daripada Allahyarhamah ketika beliau memegang amanah sebagai Naib Presiden pada waktu itu.

“Ketegasan prinsip serta keberanian beliau dalam memperjuangkan keadilan akan terus dikenang.

“Saya mewakili kepimpinan dan seluruh warga Parti Keadilan Rakyat merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarhamah, khususnya kepada anakanda beliau, pelakon Ida Nerina,” kata Fuziah lagi.

Sementara itu, penulis yang memenangi banyak hadiah sastera, Mohd Fudzail Mohd Nor turut merakamkan kenangan beliau bersama Allahyarham.

“Alfatihah, semasa Reformasi, beliau amat baik dengan saya dan kami selalu bertemu, pada masa itu, beliau ada bangunan di Jalan Tun Razak dekat Kampung Baru yang mahu dijual. Bangunan Marinara,” tulisnya di media sosial.

Berikut lima fakta menarik mengenai kehidupan Datuk Marina Md Yusoff:

1) Ibu kepada pelakon terkenal

Beliau merupakan ibu kepada pelakon dan pengarah teater terkenal Malaysia, Ida Nerina, yang aktif dalam filem, drama televisyen dan teater sejak 1990-an.

2) Antara usahawan wanita Melayu terawal berjaya

Marina dikenali sebagai antara usahawan wanita Melayu yang menonjol pada era 1980-an dan 1990-an, ketika penyertaan wanita dalam dunia korporat masih terhad.

3) Terlibat dalam gelombang Reformasi 1998

Marina turut aktif dalam gerakan politik selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998, yang mencetuskan Gerakan Reformasi 1998 di Malaysia.

4) Pernah bersama gerakan awal PKR

Beliau pernah terlibat dalam parti yang kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat, ketika ia masih dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional.

5) Bertanding pilihan raya sejak tahun 1990

Allahyarham pernah bertanding di Lembah Pantai pada 1990 di bawah tiket Parti Semangat 46, sebelum meneruskan perjuangan bersama Parti Keadilan Nasional.

Pada tahun 1999, Marina telah dipilih sebagai Naib Presiden PKR dan bertanding di Wangsa Maju.

BACA JUGA Pas kalah saman fitnah lagi, mahkamah arah Pemuda Pas Perak bayar RM250,000