Bekalan bahan api domestik cukup hingga akhir Mei, ini Petronas buat depani impak krisis Asia Barat

Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) memberi jaminan pihaknya tidak memandang ringan impak krisis berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran dengan mengambil langkah-langkah yang konkrit.

Syarikat minyak nasional itu berkata, Malaysia mempunyai tahap daya tahan struktur terhadap kejutan luaran yang timbul akibat perang di rantau itu, namun mengakui kesannya adalah nyata dan tidak mudah untuk dianalisis.

Menurut kenyataan Petronas hari ini, Malaysia sebagai pengeksport tenaga bersih menghasilkan kira-kira dua juta tong setara minyak sehari, dengan anggaran tiga perempat ialah gas dan satu perempat pula ialah minyak.

Namun, tegas syarikat itu, Malaysia juga terkesan akibat gangguan dalam pasaran tenaga global yang cepat menular melalui kos import, kadar penghantaran dan insurans, tekanan rantaian bekalan dan komitmen subsidi bahan api.

Sehubungan itu, Petronas mengaktifkan pelbagai langkah kesinambungan yang konkrit, yang antara lainnya mengarahkan minyak mentah Malaysia ke kilang penapisan tempatan untuk memaksimumkan pengeluaran bahan api domestik.

Dalam masa sama, Petronas turut mendapatkan sumber bekalan minyak mentah tambahan dari Afrika Barat dan Amerika Latin untuk mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana laluan perkapalan tunggal.

Selain itu, Petronas sedang menyiapkan kilang penapisan Petronas Refinery Chemical di Pengerang, Johor bagi membantu mengimbangi permintaan petrol dan bahan api jet sejurus bahan suapan minyak mentah tersedia.

“Petronas sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pemain industri lain untuk memantau perkembangan semasa dan melindungi keselamatan tenaga Malaysia.

“Perancangan berasaskan senario dan langkah-langkah kontingensi telah diaktifkan.

“Keutamaan adalah jelas: memastikan bekalan bahan api yang stabil dan mencukupi untuk Malaysia, walaupun keadaan global kekal tidak menentu dan tidak stabil,” kata Petronas.

Kesinambungan bekalan

Pada kadar penggunaan semasa, bekalan bahan api domestik dijamin tersedia sehingga akhir Mei 2026, dengan langkah-langkah mitigasi yang diselaraskan telah pun dilaksanakan untuk menyokong kesinambungan bekalan mulai Jun dan seterusnya.

Kenyataan Petronas turut memaklumkan bahawa Malaysia mengutamakan pemenuhan keperluan tenaga domestik terlebih dahulu serta disokong dengan langkah memaksimumkan pengeluaran minyak mentah tempatan.

Pada masa sama, syarikat bahan api negara juga mempelbagaikan sumber minyak mentah serta pengaturan logistik yang fleksibel.

Selain itu, Petronas melakukan penambahbaikan operasi kilang penapisan yang memberi tumpuan kepada bahan api penting seperti petrol, diesel, bahan api jet dan gas petroleum cecair (LPG).

Sehubungan itu, Petronas menasihatkan supaya rakyat Malaysia termasuk isi rumah dan perniagaan untuk mengelak sebarang pembelian panik atau menyorok bahan api.

Rakyat Malaysia juga diseur agar menggunakan tenaga secara bertanggungjawab, mengurangkan penggunaan yang tidak penting dan menganggap penggunaan berhemat sebagai sumbangan praktikal terhadap daya tahan negara.

“Dalam tempoh ketidaktentuan global yang sebenar, penggunaan tenaga secara bertanggungjawab bukan perkara remeh.

“Ia adalah sebahagian daripada penyelesaian,” kata Petronas lagi.

Semalam, kerajaan memberi jaminan bekalan petrol dan diesel negara kekal terkawal walaupun perang di Asia Barat berisiko menjejaskan pasaran tenaga global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bekalan produk-produk petroleum di negara ini mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei depan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan sentiasa memantau perkembangan terkini dan berusaha untuk melindungi kepentingan rakyat Malaysia.

Kerajaan MADANI juga akan terus memastikan kestabilan ekonomi negara dan menyokong segala usaha ke arah keamanan dan penyelesaian diplomatik terhadap konflik yang sedang berlaku.

BACA JUGA Ketika Bersatu berpecah, Mahiaddin rancang IPR sertai PN, pembangkang terus bereksperimen