Jamaliah sasar hari tanpa plastik sekali guna hujung minggu di Selangor

FOTO BERITA: Majlis Berbuka Puasa Media Bersama YB Puan Jamaliah Jamaluddin EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Negeri Selangor di Tanah Aina Cafe, Shah Alam, Selangor. 11 Mac 2026 (Rabu)

Majlis Berbuka Puasa Media bersama Jamaliah Jamaluddin, EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Negeri Selangor berlangsung dalam suasana mesra di Tanah Aina Cafe, malam tadi.

Majlis yang menghimpunkan pengamal media itu menjadi platform bagi kerajaan negeri berkongsi perkembangan terkini berkaitan inisiatif kesihatan awam serta usaha pemeliharaan alam sekitar di Selangor.

Dalam ucapannya, Jamaliah memaklumkan bahawa portfolio Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri sentiasa memperkenalkan pelbagai inisiatif serta program baharu, khususnya yang dilaksanakan sejak penghujung tahun 2025 hingga 2026.

Antara inisiatif utama yang sedang diperkasakan ialah program Ambulans Selangor, yang bertujuan meningkatkan penggunaan perkhidmatan ambulans bagi memastikan akses bantuan kecemasan kepada rakyat dapat dipertingkatkan.

Selain itu, beliau turut menekankan pelan tindakan pengurangan penggunaan plastik sekali guna yang kini sedang dirangka oleh kerajaan negeri. Menurutnya, kerajaan Selangor merancang mewujudkan pindaan undang-undang kecil bagi memberikan punca kuasa kepada pihak berkuasa tempatan untuk menguatkuasakan langkah pengurangan plastik.

“Melalui pindaan undang-undang kecil ini, kita berhasrat untuk memperkenalkan mekanisme yang membolehkan caj beg plastik dikenakan secara lebih berkesan serta menetapkan hari-hari tertentu seperti Jumaat, Sabtu dan Ahad sebagai hari tanpa penggunaan plastik sekali guna di premis atau lokasi tertentu,” katanya.

Beliau berkata, langkah tersebut diharap dapat menggalakkan masyarakat membiasakan diri menggunakan beg guna semula atau reusable bag sekali gus mengurangkan pencemaran plastik di negeri ini.

Jamaliah turut merakamkan penghargaan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Selangor Action Council (SAC) atas kerjasama dalam merangka pelan tindakan serta aspek perundangan berkaitan.

Menurutnya, sekiranya pelan tersebut berjaya dilaksanakan, Selangor berpotensi menjadi negeri pertama di Malaysia yang mempunyai undang-undang kecil khusus bagi menguatkuasakan pengurangan penggunaan plastik sekali guna.

Mengulas mengenai statistik penggunaan plastik, beliau menjelaskan bahawa setakat ini tiada data khusus yang merekodkan jumlah plastik sekali guna yang dibuang secara berasingan kerana kebanyakan statistik sisa domestik merangkumi pelbagai bahan seperti kaca, tin dan kertas. Namun begitu, beliau mengakui bahawa plastik merupakan antara komponen terbesar dalam sisa domestik yang dibuang setiap hari.

“Sekiranya tiada langkah pengurangan diambil, kita bimbang pencemaran plastik akan terus meningkat, bukan sahaja di Selangor tetapi di seluruh Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Jamaliah berkata kadar caj beg plastik yang baharu masih dalam perbincangan, dengan kadar semasa sebanyak 20 sen mungkin disemak semula selepas penguatkuasaan dilaksanakan.

Majlis berbuka puasa itu turut menjadi ruang santai bagi pengamal media berinteraksi secara lebih dekat dengan kepimpinan negeri sambil membincangkan pelbagai isu semasa berkaitan kesihatan awam dan kelestarian alam sekitar.
