Pas tolak Rumah Bangsa Umno yang umpama payung buruk, kata Hadi

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan panjang lebar menyerang gagasan Rumah Bangsa oleh UMNO, sambil menjelaskan mengapa parti itu tidak akan menyertai gagasan berkenaan.

Dalam coretan Minda Presiden di Facebook, beliau mengibaratkan Rumah Bangsa sebagai perlindungan yang tidak selamat seperti bernaung di bawah payung buruk yang sudah rosak sehingga tidak mampu menahan simbahan hujan yang lebat.

“Inilah iktibar yang dapat diambil oleh Pas yang tidak bersedia memasuki Rumah Bangsa yang ditawarkan oleh UMNO yang bernaung di bawah bumbung yang nyata tidak selamat, laksana berada di bawah payung buruk yang sudah mengalami banyak kerosakan sehingga tidak mampu menahan simbahan hujan yang lebat. 

“Kain peneduhnya sudah tiada dan masih terdapat besi-besi tajam yang membahayakan. 

“Lebih berbahaya lagi kalau menjadi laksana rumah yang tidak beratap dan berdinding, yang dimasuki hantu yang menjadi penunggu sehingga membahayakan penghuninya,” katanya.

Di awal catatannya, Abdul Hadi berkata, Pas telah menghantar pemerhati ke satu perjumpaan bagi memenuhi jemputan Rumah Bangsa oleh UMNO bagi melihat dan menyaksikan sendiri kalangan yang hadir. 

Walaupun tanpa kehadiran wakil DAP, beliau mendakwa dapat membaca segala yang tersirat. 

Ahli Parlimen Marang itu berkata, tujuan pertemuan tersebut dilihat sebagai usaha menganjurkan perpaduan Melayu atas semangat kebangsaan tanpa berteraskan Islam. 

Ini kerana katanya, UMNO tetap bersahabat dan berwala’ kepada DAP semata-mata untuk membentuk kerajaan walaupun terpaksa meninggalkan prinsip asal perjuangannya.

“Wajib dipastikan siapa yang boleh menjadi kawan yang dipercayai atau lawan yang diragui kerana Allah mewajibkan kita memilih kawan yang soleh serta menjauhkan diri daripada kawan yang merosakkan urusan agama dan dunia yang menjadi jambatan ke akhirat,” ujarnya.

Di pengakhiran tulisannya, Pas menyatakan bahawa parti itu tidak bersedia berada di dalam rumah besar yang tidak beratap dan tercabut dindingnya.

“Maka Pas tidak bersedia berada dalam rumah besar yang tidak beratap dan tercabut dindingnya, sehingga dimasuki syaitan-syaitan yang menggoda dan melalaikan,” ujarnya.

BACA JUGA Rumah Bangsa usaha Umno nak jadi ‘abang besar’ kembali, kata Sanusi