Rumah Bangsa usaha Umno nak jadi ‘abang besar’ kembali, kata Sanusi

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menempelak cadangan penubuhan sekretariat Rumah Bangsa Malaysia oleh UMNO.

Menteri Besar Kedah berkenaan berkata, Rumah Bangsa Malaysia adalah cubaan UMNO untuk berkuasa kembali dan menjadi ‘abang besar’ semula.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu berkata, setakat ini perkara itu belum dibincangkan di peringkat partinya, walaupun sudah menjadi perbualan dalam kalangan pemimpin politik.

“Masa dia (UMNO) sesak, nak berkuasa, dia cari orang Melayu. Masa dia seronok dia jadi kerajaan dengan DAP, itu UMNO, kita harap dia insaf,” katanya.

Sanusi berkata demikian semasa sidang media selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada fakir miskin di Wisma Darul Aman, di Alor Setar, semalam.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memperkenalkan konsep ‘Rumah Bangsa’ yang terbuka kepada semua pihak yang ingin bersama parti itu.

Konsep itu adalah berasaskan peranan UMNO sebagai ‘Rumah Bangsa’ sejak penubuhannya pada 1946 yang menghimpunkan lebih 100 pertubuhan Melayu untuk bersatu menentang cadangan Malayan Union.

Politik orang Islam

Mengulas lanjut, Sanusi berkata, Pas sedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang selari dengan prinsip parti itu demi mengembalikan kuasa politik orang Islam.

“Kalau kuasa politik orang Islam hilang, jadi kacau bilau habis.

“Semua orang nak cakap, semua orang ada kepentingan yang sama banyak, jadi habis berselerak seperti sehari dua ini.

“Jadi, kuatkan dulu politik orang Islam dengan demikian dapat menjaga keharmonian semua kaum yang ada di negara ini, Islam tak membenarkan kita menindas tidak membenarkan kezaliman dan diskriminasi. Betul-betul pegang yang Islam ajar,” kata Sanusi.

Pengerusi PN Kedah itu turut menegaskan bahawa sebarang kerjasama politik perlu dilakukan dengan penuh keikhlasan dan bukan sekadar strategi sementara.

BACA JUGA Pelaburan Pulau Pinang lebih seimbang berbanding Kedah bukti hala tuju Ekonomi MADANI berkesan