Rupanya ini punca 1 maut, 12 ditahan di Jalan Gombak ketika tarawih malam tadi
Seorang lelaki maut selepas terjatuh dari tingkat tiga sebuah unit kediaman di Jalan Gombak, Kuala Lumpur malam tadi.
Dia ketika itu melarikan diri bersama seorang rakannya untuk mengelak daripada ditahan polis.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, kejadian jam 9.07 malam itu berlaku ketika sepasukan anggotanya sedang melakukan serbuah di situ berkaitan dengan kes curi motosikal.
“Kedua-dua suspek cuba melarikan diri dengan bertindak terjun daripada tingkat tiga bangunan.
“Seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi selamat,” katanya menurut satu kenyataan, hari ini.
Beliau memaklumkan kes tersebut diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
Jelasnya, serbuan itu turut membawa kepada penahanan 12 individu di kediaman berkenaan serta rampasan dua motosikal curi dan beberapa jenis dadah di kediaman itu.
“Polis menahan 12 individu terdiri daripada empat lelaki, lima wanita dan tiga kanak-kanak berumur lingkungan tiga hingga 42 tahun termasuk dua warganegara Indonesia,” katanya sambil menegaskan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu bagi mengelakkan kekeliruan serta kegusaran awam.
BACA JUGA Harga BUDI95 kekal RM1.99 walau harga minyak dunia melonjak