Mahfuz tegur kenyataan keterlaluan Hadi Awang
Tulisan Minda Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang melabel usaha dialog politik melalui gagasan Rumah Bangsa sebagai “tipu daya syaitan” adalah satu kenyataan yang amat keterlaluan dan tidak mencerminkan kematangan politik.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, dalam tradisi Islam, perbezaan pandangan tidak pernah dijawab dengan bahasa menghina atau melabel pihak lain sebagai syaitan.
Lebih memeranjatkan, tulisan tersebut cuba menggambarkan kerjasama politik dengan DAP sebagai satu bentuk pengkhianatan kepada Islam.
“Sedangkan sejarah politik negara menunjukkan bahawa Pas sendiri pernah bekerjasama dengan DAP dalam pakatan politik selama bertahun-tahun. Ketika itu tidak pula kedengaran label syaitan atau tuduhan sedemikian.
“Pendekatan memetik ayat-ayat al-Quran di luar konteks untuk menyerang lawan politik juga amat membimbangkan.
“Ayat-ayat yang berkaitan dengan peperangan dan permusuhan tidak boleh disalahgunakan untuk menuduh pihak lain dalam perbezaan politik demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahfuz berkata, Rumah Bangsa ialah rumah yang cuba dibina semula supaya rakyat tidak terus hidup dalam pergaduhan politik.
Justeru, politik yang memecah-belahkan rakyat dengan retorik agama tidak akan membantu menyelesaikan masalah sebenar rakyat.
“Islam adalah agama yang membawa rahmat dan kebijaksanaan. Ia tidak boleh dijadikan alat untuk menuduh dan menghukum lawan politik.
“Apabila hujah politik semakin lemah, label agama sering dijadikan senjata. Tetapi rakyat Malaysia semakin matang dan mampu membezakan antara perjuangan agama yang tulen dan propaganda politik yang berselindung di sebalik agama,” tambahnya.
BACA JUGA Penyokong Pas sifatkan sikap Hadi terhadap Rumah Bangsa sebagai ‘bahaya’