Mujahid lawat Mursyidul Am Pas Hashim Jasin
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa hari ini meluangkan masa melawat Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang kini dirawat di Hospital Pulau Pinang.
Kunjungan beliau sebagai tanda hormat buat seorang tokoh yang telah lama berkhidmat dalam perjuangan dakwah serta memberi sumbangan besar kepada masyarakat.
“Alhamdulillah, pada Jumaat yang penuh keberkatan ini saya mengambil kesempatan menziarahi Ayahanda Tuan Guru Haji Hashim Jasin, yang kini sedang menjalani proses pemulihan di Hospital Pulau Pinang.
“Saya mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan kesembuhan yang segera, mengangkat segala kesakitan yang ditanggung serta terus memberikan kekuatan kepada beliau,” titipnya di Facebook.
Turut bersama dalam ziarah ini ialah Datul Azrul Mahathir Aziz, Timbalan Speaker DUN Pulau Pinang, serta Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Rashid.
“Sebelum saya berangkat pulang, Ayahanda Tuan Guru sempat berpesan dengan penuh semangat bahawa insya-Allah apabila beliau keluar dari hospital nanti, beliau akan terus mencurah bakti dan berkhidmat kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Semoga Allah SWT mengurniakan kesihatan yang baik kepada Ayahanda Tuan Guru serta memanjangkan umur beliau dalam keberkatan untuk terus memberi manfaat kepada umat dan masyarakat,” ujarnya.
BACA JUGA Mahfuz tegur kenyataan keterlaluan Hadi Awang