Penyokong Pas sifatkan sikap Hadi terhadap Rumah Bangsa sebagai ‘bahaya’
Kenyataan yang dibuat oleh Presiden Pas tentang Rumah Bangsa kini ditentang oleh ahli Pas sendiri dengan menyifatnya sebagai bahaya.
“Bahaya, kenyataan Presiden Pas dalam perenggan awal tentang UMNO. Ia seolah olah dalam kapsul lama 70 an dan 80 an,” tulis Ahmad Hakimi Othman (gambar bawah).

Bagi beliau, dalam keadaan Umat Islam Melayu berpecah, dengan pelbagai parti dan Isu, kenyataan Presiden Pas ini, tidak membantu untuk mencari penyelesaian, sebaliknya, boleh membawa kepada penjarakkan yang lebih teruk.
“Ia bertentangan dengan pendirian Politik Antarabangsa beliau dalam soal mencari jalan dekat untuk mendamaikan Sunni dan Syiah, terutama dalam konflik bumi Palestin dan Iran.
“Isu Umat Islam Melayu, tiadalah seteruk isu di Palestin dan Iran.
“Moga moga penasihat sekeliling Presiden yang dibayar gaji, tidur minum, dipuja dan dipuji.
“Tersedar dalam mengatur idea dan tulisan Presiden Pas, yang semakin terzahir paradoks yang sangat sukar ditelan secara intelektual yang adil.
“Benci, jangan benci berlebihan..
Sayang, jangan Sayang berlebihan..
Bertindak adil, supaya tiadalah kesan yang teruk di kemudian hari,” tulis Hakimi yang sejak akhir-akhir ini amat kritikal dengan beberapa tindakan Pas.
Rumah Bangsa adalah usaha Umno untuk mengumpul semua pemimpin dari parti Melayu dan Islam bagi membincangkan isu-isu berkaitan dengan hal ehwal orang Melayu dan Islam.
Pertemuan awal telah diadakan di mana Pas telah diwakili oleh Setiausaha Agung Pas, datuk Seri Takiyuddin Hassan yang disifatkan oleh Hadi sebagai pengintip.
Hadi telah mengeluarkan kenyataan panjang lebar menyerang gagasan Rumah Bangsa oleh UMNO, sambil menjelaskan mengapa parti itu tidak akan menyertai gagasan berkenaan.
Dalam coretan Minda Presiden di Facebook, beliau mengibaratkan Rumah Bangsa sebagai perlindungan yang tidak selamat seperti bernaung di bawah payung buruk yang sudah rosak sehingga tidak mampu menahan simbahan hujan yang lebat.
“Inilah iktibar yang dapat diambil oleh Pas yang tidak bersedia memasuki Rumah Bangsa yang ditawarkan oleh UMNO yang bernaung di bawah bumbung yang nyata tidak selamat, laksana berada di bawah payung buruk yang sudah mengalami banyak kerosakan sehingga tidak mampu menahan simbahan hujan yang lebat.
“Kain peneduhnya sudah tiada dan masih terdapat besi-besi tajam yang membahayakan.
“Lebih berbahaya lagi kalau menjadi laksana rumah yang tidak beratap dan berdinding, yang dimasuki hantu yang menjadi penunggu sehingga membahayakan penghuninya,” katanya.
BACA JUGA Rumah Bangsa ditolak, nama DAP pula dijaja: Inilah politik tempang Hadi Awang