Program iualan Agro MADANI Pra Syawal bantu rakyat dapatkan bekalan makanan lebih murah

FOTO BERITA: Program Jualan Agro MADANI Pra Syawal Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dihadiri oleh YBhg. Tuan Haji Muhammad Faiz Fadzil, Pengerusi LKIM di Pasar Nelayan Pulau Meranti Jalan Desaria, Puchong, Selangor. 13hb Mac 2026 (Jumaat)

Program Jualan Agro MADANI (JAM) Pra Syawal anjuran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berlangsung meriah di Pasar Nelayan Pulau Meranti, Jalan Desaria di sini hari ini, dengan kehadiran Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil.

Program tersebut merupakan inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui LKIM yang menampilkan konsep jualan terus kepada pengguna, sekali gus menawarkan pelbagai produk segar dan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah berbanding pasaran.

Melalui program ini, orang ramai berpeluang mendapatkan produk seperti ikan, ayam, daging serta barangan makanan kering dengan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus lebih murah daripada harga biasa. Inisiatif tersebut bertujuan membantu meringankan kos sara hidup rakyat khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Bagi memastikan bekalan makanan segar yang mencukupi kepada pengguna, LKIM turut menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Selangor serta Melia Evolusi Sdn Bhd dalam menjayakan program berkenaan.

Dalam masa sama, LKIM turut melaksanakan Kempen Beli Udang Tempatan bagi menggalakkan rakyat memilih udang tempatan berbanding udang import. Kempen ini menekankan kelebihan udang tempatan yang lebih segar, berkualiti serta selamat dimakan di samping menyokong keterjaminan bekalan makanan negara dan meningkatkan daya saing industri akuakultur tempatan.

Program di Pasar Nelayan Pulau Meranti ini merupakan penganjuran kali keempat bagi kempen tersebut dengan penawaran udang berkualiti dari Taman Akuakultur LKIM Badong, Pahang oleh NEKMAT. Sebanyak 800 kilogram udang Vannamei atau udang putih ditawarkan kepada pengunjung dengan potongan harga sehingga 50 peratus daripada harga pasaran, iaitu pada harga RM20 sekilogram.

Program di Pasar Nelayan Pulau Meranti ini merupakan penganjuran kali keempat bagi kempen tersebut dengan penawaran udang berkualiti dari Taman Akuakultur LKIM Badong, Pahang oleh NEKMAT. Sebanyak 800 kilogram udang Vannamei atau udang putih ditawarkan kepada pengunjung dengan potongan harga sehingga 50 peratus daripada harga pasaran, iaitu pada harga RM20 sekilogram.

Selain udang tempatan, pelbagai hasil laut segar turut dijual kepada pengunjung antaranya ikan merah, ikan jenahak, ikan bawal emas, ikan kerapu, ikan siakap dan ikan patin. Turut ditawarkan ialah ketam, sotong, ikan sejuk beku jenama QFish serta produk sejuk beku ENNA.

Program itu juga menyediakan ayam bulat sebanyak 600 ekor, daging segar tempatan seberat 500 kilogram serta pelbagai barangan kering keperluan asas termasuk biskut raya.

Secara keseluruhan, program tersebut melibatkan empat usahawan dengan empat gerai jualan yang disasarkan menarik kehadiran sekitar 500 pengunjung serta menjana nilai jualan kira-kira RM70,000.

Penganjuran program ini dijangka memberi impak positif kepada pengguna melalui penjimatan harga, selain meningkatkan kesedaran orang ramai untuk membeli hasil tempatan, memperkukuh rantaian pemasaran sektor perikanan dan akuakultur serta membantu meningkatkan pendapatan penternak dan usahawan tempatan.
