Ariffin minta siasatan dakwaan tular kaitkan Azam Baki dengan pelaburan berjuta ringgit

FOTO BERITA: Laporan Polis oleh Pengerusi NGO Eratkan Perhubungan Antara Negeri Cetuskan Organisasi (EPANCO), Ariffin Abu Bakar terhadap Datuk Seri Dr Rafizi Ramli Dakwa Tan Sri Azam Baki punyai Rm14 juta dalam 9 syarikat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur. 14hb Mac 2026 (Sabtu)

Laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi selepas Ariffin mendakwa kenyataan yang tular di media sosial berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat serta menjejaskan keyakinan terhadap agensi kerajaan.

Menurut beliau, tindakan membuat laporan polis itu bertujuan meminta pihak berkuasa menyiasat dakwaan yang dikaitkan dengan Azam Baki, termasuk spekulasi mengenai pemilikan kira-kira RM14 juta melalui beberapa syarikat pelaburan.

“Sebagai rakyat, saya terpanggil untuk membuat laporan polis supaya perkara ini disiasat secara sah. Kita tidak mahu naratif yang tidak jelas menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat,” katanya ketika ditemui media selepas membuat laporan di sini.

Ariffin berkata, jika dakwaan yang dibangkitkan itu benar, beliau menggesa Rafizi supaya tampil membuat laporan polis secara rasmi dan mengemukakan bukti kepada pihak berkuasa.

“Kita mahu perkara ini diselesaikan melalui saluran undang-undang. Jika benar, tampil buat laporan polis. Jika tidak benar, biarlah pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa laporan polis itu dibuat atas kapasiti sebagai rakyat dan aktivis NGO, bukan untuk memihak kepada mana-mana individu.

Dalam masa sama, Ariffin berpendapat Azam Baki mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya merasakan dirinya difitnah atau dituduh tanpa asas.

“Kita tidak mahu rakyat terus keliru dengan pelbagai teori dan spekulasi. Banyak perkara lebih penting perlu diberi perhatian demi kestabilan negara,” katanya.