Didakwa lari ke Thailand, Zamri Vinoth akhirnya muncul di FB jawab tuduhan
Aktivis yang dikehendaki polis, Zamri Vinoth hari ini tampil menafikan dakwaan dia melarikan diri ke Thailand susulan perkembangan siasatan yang mengaitkannya dengan tindakan menghasut keganasan.
Dalam satu respon di Facebook, aktivis itu mempersoal apakah kesalahan yang dilakukannya sehingga dia perlu disiasat.
Katanya, dia tidak terlibat dalam apa-apa kesalahan seperti menghasut, menyerang individu, mahu pun membakar kereta orang lain.
Dia juga menuding kepada beberapa individu yang didakwanya terlibat menghasut sehingga berlakunya beberapa insiden keganasan, namun tiada pertuduhan dibuat.
“Rayer yang menghasut! Arun yang menghasut! David Marshall yang menghasut sehingga ada serangan, bakar kereta dan pecah rumah! Tetapi tak ada pertuduhan di pihak mereka?
“Kenapa pula saya nak lari? Saya dah pernah cakap banyak kali kalau nak tangkap saya tangkap rayer juga dan sekarang kalau nak dakwa saya maka dakwa mereka juga!,” ujarnya.
Pada masa sama, Zamri berkata dia sendiri akan pergi bertemu dengan Ketua Polis Negara untuk menjelaskan bahawa dia tidak melarikan diri.
“Saya sendiri akan pergi jumpa IGP jika perlu InsyaAllah…saya tak lari dan tiada keperluan pun untuk lari,” tambahnya.