Isu Palestin bukan hanya isu umat Islam, tetapi isu kemanusiaan sejagat — Mohamad Sabu

FOTO BERITA: Himpunan Hair Al Quds Sedunia 2026 di hadapan Kedutaan Amerika syarikat Jalan Tun Razak Kuala Lumpur. (Jumaat)

Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu menyeru masyarakat antarabangsa terus memperkukuh solidariti global bagi membela perjuangan rakyat Palestin ketika berucap pada Himpunan Hari Al-Quds Sedunia 2026 di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur di Jalan Tun Razak, hari ini.

Menurut beliau, isu Palestin bukan sekadar masalah umat Islam semata-mata, sebaliknya merupakan isu kemanusiaan sejagat yang mendapat sokongan masyarakat dunia termasuk di negara-negara Eropah.

Beliau berkata, demonstrasi menyokong pembebasan Palestin turut disertai oleh orang Islam dan bukan Islam di negara seperti United Kingdom, dengan ribuan individu dilaporkan ditahan di London kerana menyertai bantahan menentang tindakan Israel.

“Di Eropah, tekanan rakyat menyebabkan beberapa negara mengambil langkah mengutuk tindakan Israel dan mendesak sekatan termasuk memboikot penjualan senjata kepada negara itu. Ini menunjukkan isu Palestin adalah isu kemanusiaan yang merentasi agama dan bangsa,” katanya.

Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, Malaysia melalui Parlimen telah menyatakan pendirian tegas mengutuk serangan oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.

Menurutnya, beberapa negara lain seperti Sepanyol, Rusia dan China turut menyuarakan kecaman terhadap tindakan tersebut.

Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh perubahan landskap geopolitik dunia yang menurutnya sedang menyaksikan kebangkitan suara rakyat global menentang dominasi kuasa besar.

“Perang bukan sesuatu yang kita sukai. Kita benci peperangan. Namun sejarah menunjukkan bahawa konflik sering tercetus apabila berlaku penindasan dan serangan terhadap pihak lain,” katanya.

Beliau turut menyeru agar peperangan yang sedang berlaku dihentikan segera dan menegaskan bahawa pihak yang memulakan serangan perlu mengambil langkah pertama untuk menghentikan konflik.

Pada masa sama, Mohamad menasihatkan negara-negara Arab supaya tidak terus bergantung kepada kuasa besar, sebaliknya bersama dengan kebangkitan masyarakat dunia dalam menentang penindasan terhadap rakyat Palestin.

Himpunan Hari Al-Quds Sedunia tersebut menghimpunkan ratusan peserta terdiri daripada aktivis, pemimpin politik serta orang ramai yang menyatakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin serta mendesak agar keganasan dan konflik di rantau Asia Barat dihentikan.