KPM tak pernah anjur program di gereja, Fadhlina gesa pemfitnah minta maaf
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menafikan tuduhan kononnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengadakan program di gereja sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Fadhlina pagi ini menggesa pihak yang memulakan fitnah tersebut tampil membuat permohonan maaf kerana KPM tidak pernah menganjurkan program pendidikan di dalam gereja.
Sebaliknya, program sesi libat urus yang membabitkan beberapa pemegang taruh sekolah telah diadakan di sebuah dewan dalam sebuah sekolah antarabangsa, dan bukannya di dalam gereja.
“Kita ada terima aduan berkaitan satu kenyataan fitnah yang mendakwa kita (KPM) mengadakan program di gereja dan ia telah menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
“Sebenarnya, program itu diadakan di sebuah sekolah antarabangsa iaitu satu sesi libat urus berkaitan dengan apa yang kita panggil sebagai pemegang taruh sekolah ataupun prasekolah swasta.
“Dan sesi itu berlaku dalam dewan dan bukannya sesuatu yang didakwa dalam gereja, sebab itu saya tegaskan tadi ini bulan Ramadan dan apa sahaja fitnah dan berita yang cuba mengganggu-gugat keharmonian serta membangkitkan rasa marah dan salah faham dalam masyarakat tidak boleh dibiarkan,” katanya kepada media malam tadi.
Beliau mengulas dakwaan yang berlegar di media sosial, kononnya program melibatkan tadika swasta bersama KPM telah diadakan di sebuah gereja di Bukit Mertajam.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad menjelaskan bahawa sesi itu telah dilaksanakan di dewan Sekolah Menengah Antarabangsa Assumption di Bukit Mertajam, yang berdaftar dengan kementerian.
Beliau dilaporkan berkata, pemilihan lokasi itu dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk kemudahan dan fasiliti yang tersedia selain bertujuan mengetengahkan peranan sekolah antarabangsa sebagai sebahagian daripada ekosistem pendidikan swasta negara.