Pas sebenarnya sengaja ‘tutup telinga’ usaha kerajaan

Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas sengaja “menutup telinga” tentang usaha keras kerajaan dalam mendepani konflik di Timur Tengah hari ini, sehingga melabel Kerajaan MADANI gagal memberikan perancangan konkrit tatkala berhadapan dengan konflik ini.

Pas tidak nampak pada 13 Mac, pertemuan Menteri Ekonomi ASEAN telah diadakan dengan merumuskan kebimbangan negara-negara ASEAN, di mana Malaysia sudah tentu turut terlibat.

Malah, kerajaan turut mengambil langkah berjimat cermat dengan membatalkan sambutan Aidilfitri peringkat institusi kerajaan, GLC dan GLIC, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada Pas benar-benar memahami langkah persediaan yang sedang dilakukan kerajaan.

Pengerusi, Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Amidi Abdul Manan berkata, bukankah langkah berjimat ini serupa dengan saranan Nabi Yusuf kepada Raja Mesir bagi mempersiap negara untuk berhadapan dengan musim kemarau yang berpanjangan.

“Sikap ulamak yang tidak gelojoh menghukum dan melabel seperti inilah yang menjerumuskan umat ke situasi yang lebih buruk lagi. 

“Kita sedang menanti langkah ‘bekerja dari rumah’ yang sedang diteliti oleh Ketua Setiausaha Negara bagi mengukuhkan lagi langkah penjimatan bahan api fosil. 

“Jelas Kerajaan MADANI hari ini adalah kerajaan yang bertanggungjawab untuk membina daya tahan negara baik dari sudut ekonomi, sosial, pentadbiran dan teknologi bagi berhadapan dengan situasi dunia yang semakin getir dan tidak menentu hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amidi berkata, beliau musykil sama ada Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas benar-benar memahami erti perkataan retorik.

Ini kerana sehingga hari ini kita tidak melihat langkah konkrit untuk memajukan ekonomi negeri SG4 biarpun dengan penasihat hebat yang menerajui negara hampir suku abad.

“Saya nasihatkan agar Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas, tidak menjadi panglima kesiangan yang terlepas pertempuran,” tambahnya lagi.