101 Kawah Dodol Meriahkan Program Langek Kacau Dodol MADANI 2.0 di Hulu Langat

FOTO BERITA: Program Langek Kacau Dodol MADANI 2.0 (101 Kawah) yang dihadiri bersama YB Mohamad Sabu Menteri KPKM dan YB Tuan Sany Hamzan Ahli Parlimen Hulu Langat di Stadium Mini Pekan Batu 14, Hulu Langat, Selangor. 14hb Mac 2026 (Sabtu)

Program Langek Kacau Dodol MADANI 2.0 (101 Kawah) berlangsung meriah dengan penyertaan masyarakat setempat di Stadium Mini Pekan Batu 14 di sini, hari ini. Program berunsur gotong-royong itu turut dihadiri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu bersama Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan.

Dalam ucapannya, Mohamad Sabu menzahirkan penghargaan kepada penganjur dan komuniti setempat yang berjaya menjayakan program berkenaan walaupun beliau tiba sedikit lewat kerana kekangan perjalanan dari Melaka ke Hulu Langat.

Beliau berkata, program seperti ini bukan sekadar menyediakan juadah tradisi Ramadan dan Aidilfitri, malah menjadi platform untuk memperkukuh perpaduan serta semangat kemasyarakatan.

“Buatlah 100 kawah, 10 kawah atau 1,000 kawah sekali pun, yang penting jangan membazir. Semua yang dibuat ini kita hendak makan sampai habis,” katanya.

Mohamad Sabu turut mengingatkan masyarakat mengenai isu pembaziran makanan di Malaysia yang disifatkan masih tinggi dan perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.

Menurut beliau, Malaysia dianggarkan membazirkan sehingga 12,000 tan makanan sehari, satu angka yang membimbangkan terutama dalam kalangan masyarakat Islam yang diingatkan oleh agama supaya menjauhi pembaziran.

Menurut beliau, Malaysia dianggarkan membazirkan sehingga 12,000 tan makanan sehari, satu angka yang membimbangkan terutama dalam kalangan masyarakat Islam yang diingatkan oleh agama supaya menjauhi pembaziran.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik menjelang Aidilfitri, walaupun terdapat kebimbangan terhadap kenaikan harga minyak dunia susulan konflik antarabangsa

“Kalau rancang hendak jamu lima ekor ayam, belilah lima ekor. Jangan beli sampai sepuluh atau dua puluh ekor. Itu dipanggil pembelian panik,” katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa bekalan makanan di Malaysia mencukupi dan kerajaan akan terus memantau situasi semasa serta menyalurkan maklumat dari semasa ke semasa bagi memastikan kestabilan harga dan bekalan menjelang musim perayaan.

Dalam pada itu, Mohamad Sabu berkata kerajaan turut mengambil langkah berjimat cermat dalam perbelanjaan termasuk menangguhkan majlis rasmi Aidilfitri berskala besar sebagai langkah memperkukuh kedudukan ekonomi negara.

Beliau menegaskan bahawa program komuniti seperti kacau dodol ini lebih bermakna kerana menekankan semangat gotong-royong, kemesraan dan peluang untuk masyarakat berkumpul bersama.

Program dua hari itu dijangka diteruskan esok dengan penglibatan lebih ramai sukarelawan dan komuniti setempat bagi menyiapkan dodol yang akan diagihkan kepada penduduk serta pengunjung sempena sambutan Aidilfitri.

Menurut Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan, jumlah 101 kawah dipilih sebagai simbolik kepada nombor kawasan Parlimen Hulu Langat iaitu P101.

“Kenapa 101 kawah? Sebab Parlimen Hulu Langat ialah P101. Jadi kita ambil angka itu sebagai simbolik dan menganjurkan program kacau dodol ini,” katanya.

Sany berkata, program yang bermula pada sebelah petang itu berjalan lancar dengan kebanyakan kawah dodol hampir siap dimasak menjelang waktu malam. Menurut beliau, penganjuran program tersebut bukan sahaja bertujuan menyediakan juadah tradisional menjelang Aidilfitri, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat setempat.

“Kalau kita tengok di belakang ini pun, kebanyakan kawah sudah hampir siap. Ini menunjukkan semangat kerjasama masyarakat yang sangat baik,” katanya.

Program dua hari itu dijangka diteruskan dengan penglibatan lebih ramai sukarelawan dan komuniti setempat sebelum dodol yang dimasak diagihkan kepada penduduk serta pengunjung sempena sambutan Aidilfitri.










