Anwar lulus RM1.525 juta perkasa lima sekolah pondok, tahfiz di Sabah

Warga di lima sekolah pondok dan pusat tahfiz di Sabah pasti mengukir senyuman apabila Perdana Menteri hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.525 juta.

Peruntukan itu bagi menaik taraf infrastruktur serta memperkenalkan pendidikan digital termasuk kecerdasan buatan (AI).

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkasa institusi pendidikan Islam tradisional agar selari perkembangan semasa tanpa menjejaskan tradisi pengajian pondok.

Lima institusi menerima peruntukan itu ialah Pondok Pesantren Nurul Ihsan dan Pondok Miftahussalam di Sandakan; Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran Babussalam dan Pondok Al-Hasyimi di Kudat; serta Pondok Fii Dzilalil Quran di Kota Belud.

“Institusi pondok dan tahfiz perlu menyesuaikan diri dengan perubahan dunia termasuk kemajuan teknologi dan kecerdasan buatan,” kata beliau.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI di Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.

Perdana Menteri Anwar berkata, kerajaan tidak akan campur tangan dalam kurikulum tradisional yang diajar di institusi pondok dan tahfiz.

Kekuatan baharu

Namun, beliau mencadangkan semua institusi pendidikan termasuk sekolah agama memastikan pelajar menguasai bahasa Melayu serta memahami sejarah negara.

“Keadaan berubah, dunia sekarang melihat benteng pertahanan itu boleh ditembusi kerana rapuh, kerana kekuatan baharu itu transformasi digital, kecerdasan buatan dan kita kalah dari segi itu.

“Jadi saya bersyukurlah, alhamdulillah kerana pondok-pondok yang kita jemput setuju, jalankan kurikulum mereka ada sekarang, kita tidak campur, kita cuma tambah bahasa, tambah sejarah dan tambah pendidikan digital dan kecerdasan buatan,” kata beliau.

Dalam masa sama, beliau berkata, pada 2003 kerajaan ketika itu menghentikan semua bantuan kepada sekolah agama rakyat.

Walau bagaimanapun, katanya, pentadbiran beliau kini mengambil langkah untuk memulakan semula sokongan kepada institusi berkenaan selepas meneliti keperluan serta peranan pentingnya dalam pendidikan masyarakat.

“Di negara kita ini anak-anak di maahad tahfiz sekolah agama rakyat ini dah mencecah lebih 400,000 mungkin setengah juta dan sejak 2003 keputusan kerajaan masa itu ialah menghentikan semua bantuan kepada sekolah-sekolah rakyat.

“Saya bincang dengan rakan-rakan saya dan merasakan keputusan itu tidak bijak. Kalau kita rasa ada kekurangan kita cuba perbaiki tapi dengar masalah mereka,” kata Perdana Menteri lagi.

BACA JUGA PRU16: PKR Sabah beri tumpuan kembalikan semangat parti