‘Bulan puasa tak perlu nak mengata orang’, Mahdzir ‘sekolahkan’ MB Kedah
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menempelak Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi berhubung dakwaan kononnya terdapat bekas wakil rakyat di Kuala Nerang memiliki 300 ekar (121 hektar) tanah di kawasan itu.
Bekas Ahli Parlimen Padang Terap berkenaan menyifatkan tuduhan Sanusi pada bulan Ramadan itu sebagai sangat tidak berasas serta memberi gambaran buruk kepada UMNO.
Malah, kenyataan sedemikian tidak wajar dikeluarkan kerana boleh menimbulkan fitnah serta salah faham.
“Kalau hendak menuduh seseorang, sebutlah dengan jelas. Jangan seolah-olah menuduh semua orang.
“Ini bulan puasa, tak perlulah hendak mengata orang. Bagi saya kenyataan seperti itu sudah melampau,” katanya, dipetik BH.
Sejak 12 Mac lalu, tular di media sosial video petikan ucapan Sanusi ketika majlis penyerahan sumbangan Aidilfitri kepada fakir miskin di Wisma Darul Aman yang mendakwa terdapat bekas wakil rakyat memiliki tanah seluas 300 ekar.
Menerusi klip video itu, pemimpin Pas terbabit mempersoalkan adakah tanah itu diwarisi atau datang daripada cara lain selain mempunyai pusat khidmat yang besar di tanah yang luas di Kuala Nerang.
Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, dakwaan Sanusi itu menimbulkan persoalan kerana tidak dinyatakan secara jelas siapakah individu yang dimaksudkan memandangkan di Kuala Nerang terdapat enam bekas wakil rakyat yang masih hidup.
Mereka adalah Datuk Seri Ghazali, Datuk Badrul Hisham, Datuk Syed Razak, Datuk Syed Sobri, Datuk Abdul Latif Mat Saman serta Kama Noriah selain Mahdzir sendiri.
“Siapa yang dia maksudkan memiliki 300 ekar tanah itu?” soal Mahdzir lagi.
Tambahnya, tuduhan seperti itu tidak sepatutnya dibuat secara umum kerana boleh memberi gambaran buruk kepada semua bekas wakil rakyat yang pernah berkhidmat di kawasan berkenaan.
BACA JUGA Pas sebenarnya sengaja ‘tutup telinga’ usaha kerajaan