Kerajaan kekalkan diesel RM2.15 di Sabah dan Sarawak, subsidi dijangka melonjak RM4.6 bilion
Kerajaan MADANI menegaskan komitmen untuk terus melindungi kebajikan rakyat daripada tekanan kos sara hidup dengan mengekalkan harga runcit diesel di Sabah dan Sarawak pada kadar RM2.15 seliter walaupun harga sebenar bahan api itu jauh lebih tinggi.
Perdana Menteri berkata keputusan tersebut diambil bagi memastikan rakyat di kedua-dua negeri itu tidak terbeban dengan kenaikan harga minyak global yang memberi kesan kepada kos tenaga dan pengangkutan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 hari ini.
“Hakikatnya, dengan lonjakan harga minyak global ketika ini, kos sebenar diesel telah mencecah sekitar RM4.30 seliter.
“Namun, jelasnya, rakyat di Sabah dan Sarawak hanya membayar kira-kira separuh daripada kos sebenar, manakala selebihnya ditanggung oleh kerajaan melalui subsidi,” kata Perdana Menteri.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, bagi tahun 2025 sahaja, kerajaan telah menanggung kira-kira RM2.0 bilion subsidi diesel untuk Sabah dan Sarawak.
Jelasnya, jika harga minyak dunia kekal pada paras semasa, jumlah subsidi tersebut dijangka meningkat kepada sekitar RM4.6 bilion tahun ini.
“Keputusan ini mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk memastikan rakyat, khususnya di Sabah dan Sarawak, terus mendapat perlindungan sewajarnya daripada tekanan kenaikan harga tenaga, di samping memastikan kestabilan kos pengangkutan dan bekalan barangan keperluan harian,” kata Anwar lagi.