Menteri pertahan galakan tanam sayur, anggap sindiran Wan Saiful tersasar
Datuk Seri Mohamad Sabu mempertahankan cadangan supaya rakyat menanam sayur sendiri sebagai sebahagian usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara, sambil menegaskan langkah itu hanyalah salah satu lapisan strategi kerajaan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu menegaskan pihaknya memahami realiti sebenar isu keterjaminan makanan yang jauh lebih kompleks dan berkait rapat dengan faktor global.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab kritikan Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang telah dipecat oleh Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mempersoalkan keberkesanan cadangan menanam sayur sendiri dalam menyelesaikan isu keterjaminan makanan negara.
“Memang benar, dua pokok cili tidak akan menurunkan harga minyak dunia. Sepasu kangkung tidak akan menstabilkan harga urea global. Itu saya pun tahu.

“Mungkin beliau terlepas pandang laporan berita mengenai tindakan KPKM yang sedang memantau dan telah mengambil langkah awal ekoran konflik geopolitik di Timur Tengah yang berpotensi menjejaskan rantaian bekalan global,” ujarnya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, Wan Saiful menganggap galakan supaya rakyat bercucuk tanam bukan jawapan serius dalam menghadapi ketidaktentuan bekalan makanan global.
Katanya, tanaman kecil di halaman rumah tidak mampu memberi kesan signifikan kepada bekalan makanan negara secara keseluruhan.
Masih stabil
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, setakat ini, pemantauan kementeriannya mendapati bekalan makanan negara masih stabil dan mencukupi, namun kerajaan tetap bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Jelasnya, kenaikan harga bahan api dijangka memberi kesan langsung kepada nelayan vessel C2 dan C3 yang tidak menerima subsidi diesel, selain meningkatkan kos logistik agromakanan yang boleh menekan harga runcit.
Pada masa sama, ujarnya, peningkatan harga urea global turut berpotensi menambah kos input pertanian, manakala bekalan jagung bijian dan kacang soya untuk makanan ternakan masih bergantung kepada sumber import.
“Benih tanaman dan ternakan ruminan juga terdedah kepada risiko gangguan global.
“Inilah realiti keterjaminan makanan yang berkait dengan geopolitik, tenaga, input pertanian, kos logistik dan perdagangan antarabangsa,” katanya.
Sehubungan itu, jelasnya, antara langkah awal yang dilakukan KPKM ialah meningkatkan stok penimbal beras melalui BERNAS daripada 200,000 tan metrik kepada 300,000 tan metrik.
Selain itu, katanya, KPKM juga melakukan libat urus dengan PETRONAS bagi memastikan bekalan urea mencukupi pada harga terkawal.
Pengeluaran domestik
Turut dilakukan pihak kementeriannya adalah memperkukuh pelbagai program pengeluaran domestik seperti Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Taman Kekal Pengeluaran Ruminan (TKPR), Zon Industri Akuakultur (ZIA), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) serta program Pertubuhan Peladang untuk meningkatkan pengeluaran domestik.
Malah, katanya, KPKM juga merangka pelan tindakan pengurusan krisis dan cadangan Zon Pengeluaran Makanan Negara.
“Dalam jangka panjang pula, kita akan melaksanakan sembilan hala tuju strategik termasuk pengeluaran jagung bijian tempatan, pengukuhan industri ruminan, pembangunan baka Ayam Saga, peningkatan produktiviti padi dan pengukuhan industri akuakultur.
“Semua ini pelan besar. Ada angka. Ada peruntukan. Ada KPI.
“Jadi, apabila kementerian menggalakkan rakyat menanam sayur melalui program Kebuniti dan Kebun Dapur Isirumah, itu bukan kerana kerajaan tiada strategi.
“Ia kerana kita faham keterjaminan makanan mesti dibina secara berlapis,” jelas Mohamad.
Beliau turut memberi contoh negara seperti Singapura dan Jepun yang tetap menggalakkan komuniti menanam makanan walaupun memiliki dasar makanan yang kukuh.
“Kalau ada yang melihat usaha kecil rakyat dan pegawai KPKM sebagai tidak signifikan, itu hak masing-masing.
“Bagi saya, yang tidak signifikan ialah memperlekehkan usaha membina daya tahan hanya kerana ia tidak berbentuk ‘popular’,” tegasnya.
Dalam masa sama, Mohamad yang juga Presiden AMANAH menegaskan bahawa KPKM akan terus memantau perkembangan geopolitik, menstabilkan bekalan serta mengurangkan kebergantungan kepada import makanan.
“Dan ya, kita akan terus galakkan rakyat menanam.
“Kerana dalam dunia yang tidak menentu, berdikari bukan slogan. Ia strategi,” kata menteri berkenaan lagi.
BACA JUGA Zamri Vinoth, Tamim Dahri lolos ke selatan Thailand