PRU16: PKR Sabah beri tumpuan kembalikan semangat parti
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, jentera parti diperkukuh menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 melalui Mini Konvensyen Keadilan dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) peringkat negeri hari ini.
Menurutnya, penganjuran konvensyen itu bertujuan menghimpunkan semula kepimpinan parti selain menyusun gerak kerja bagi memperkasa jentera di peringkat cabang.
“Ya, ini antara agenda kita. Kita mengadakan mini konvensyen bagi menghimpunkan semula pimpinan parti, selain merancang untuk mengadakan Mesyuarat Agung di setiap cabang sebelum mengadakan Kongres Parti pada bulan Jun,” katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan (Harapan) Sabah itu berkata demikian kepada media selepas menghadiri program Mini Konvensyen Keadilan dan Perasmian MATC peringkat Sabah, di Kota Kinabalu.
Program berkenaan dirasmikan Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kehadiran pimpinan serta ahli parti dari seluruh Sabah.
Mustapha berkata, PKR Sabah kini memberi tumpuan untuk mengembalikan semangat parti selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 lalu yang menyaksikan parti itu hanya memenangi satu kerusi.
Untuk rekod, PKR menerusi tiket Pakatan Harapan (PH) hanya memenangi satu kerusi menerusi Datuk Jamawi Jaafar selepas dicalonkan PKR di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap.
Dalam PRN-17 itu, PH bertanding di 10 kerusi DUN iaitu Bandau, Inanam, Api-Api, Petagas, Sindumin, Melalap, Tulid, Karamunting, Segama dan Merotai.
Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) berkata, Perdana Menteri turut menyampaikan amanat supaya jentera parti di Sabah bersiap sedia menghadapi PRU selain memahami isu penting berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk tuntutan hasil 40 peratus negeri.
Dalam PRU lalu, PKR menerusi PH hanya memenangi satu kerusi yang dimenangi Datuk Mustapha Sakmud di kerusi Parlimen Sepanggar daripada 10 calon PKR (PH) pada PRU ke-15.
BACA JUGA Menteri pertahan galakan tanam sayur, anggap sindiran Wan Saiful tersasar