Zamri Vinoth, Tamim Dahri lolos ke selatan Thailand
Dua individu kontroversi, Zamri Vinoth dan Tamim Dahri dilapor telah dikesan memasuki wilayah selatan Thailand menggunakan dokumen perjalanan yang sah pada 12 Mac lalu.
Lapor Bernama memetik sumber keselamatan Thailand, mereka memasuki negara itu melalui jalan darat di pintu masuk Sungai Golok, Narathiwat yang bersempadan dengan Rantau Panjang, Kelantan.
“Laporan awal mendapati kedua-dua mereka masih berada di wilayah selatan Thailand,” menurut sumber kepada Bernama.
Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengesahkan Zamri dan Tamim yang disiasat membabitkan beberapa kes berasingan melarikan ke Thailand.
Menurutnya, usaha mengesan kedua-duanya sedang giat dijalankan dengan bantuan pihak berkuasa Thailand.
Zamri disiasat ekoran kenyataannya pada satu perhimpunan di ibu negara pada 7 Februari lalu dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).
AGC kemudiannya mengeluarkan arahan pertuduhan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, iaitu berkaitan kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat menyebabkan atau yang mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam.
Dalam masa sama, siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataan berbaur penghinaan terhadap kaum India dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Pulau Pinang, dengan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Merosakkan soolam
Sementara itu, kertas siasatan membabitkan Tamim berhubung tindakan merosakkan soolam, yang juga simbol suci dalam agama Hindu di tapak lama kuil di Langkawi, Kedah dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Kedah dengan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
Tamim sebelum ini memberitahu di Facebook tidak menyedari besi tajam yang dialihkan di Pulau Langkawi, Kedah itu merupakan simbol agama kerana telah terbiar dan berkarat.
Menurutnya, itu juga bukan rumah anutan kerana tiada bangunan dan kawasan sekitar adalah lapang selain menegaskan bahawa perbuatan mengalihkan benda yang menyakiti di jalan adalah sedekah.
Terdahulu, Tamim sekali lagi mencetuskan kontroversi selepas muncul klip video yang didakwa memaparkan dia memijak trisula atau tombak bercabang tiga yang dikenali sebagai soolam di kawasan terbuka yang tidak dikenal pasti.
Penyebaran rakaman video itu meniup api kemarahan penganut Hindu dengan beberapa laporan polis telah dibuat.
BACA JUGA Kerajaan kekalkan diesel RM2.15 di Sabah dan Sarawak, subsidi dijangka melonjak RM4.6 bilion