AMK cadang PRN Johor, Melaka dan PRU dibuat serentak jimat kos hingga RM142 juta
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor mencadangkan supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, PRN Melaka serta Pilihan Raya Umum (PRU) di peringkat Persekutuan dipertimbangkan untuk diadakan secara serentak bagi menjimatkan kos dan mengurangkan beban rakyat.
Menurut AMK Johor, langkah itu wajar dipertimbangkan memandangkan rakyat ketika ini masih berdepan tekanan kos sara hidup dan negara tidak sepatutnya terus menanggung perbelanjaan besar bagi mengadakan pilihan raya secara berasingan.
Berdasarkan rekod kos pilihan raya sebelum ini, PRU15 di peringkat Persekutuan menelan belanja sekitar RM1.01 bilion, manakala PRN Johor 2022 dianggarkan sekitar RM96 juta dan PRN Melaka 2021 pula kira-kira RM46 juta.
Justeru, jika ketiga-tiga pilihan raya itu diadakan secara berasingan, jumlah kos keseluruhan boleh mencecah kira-kira RM1.152 bilion.
“Jika dibuat secara serentak, negara berpotensi menjimatkan sekitar RM142 juta.
“Wang sebesar itu boleh digunakan untuk membina rumah rakyat, membaiki sekolah daif, menaik taraf klinik, membantu keluarga susah, atau menambah peruntukan kebajikan yang lebih memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat,” menurut kenyataan media AMK Johor hari ini.
Lebih menjimatkan
Sayap pemuda PKR itu berkata, penjimatan tersebut boleh dimanfaatkan untuk perkara yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat seperti pembinaan rumah mampu milik, pembaikan sekolah daif, menaik taraf klinik kesihatan serta menambah peruntukan kebajikan kepada golongan memerlukan.
AMK Johor turut menegaskan bahawa rakyat tidak sepatutnya dibebankan untuk keluar mengundi berkali-kali dalam tempoh yang dekat jika pilihan raya diadakan secara berasingan.
“Apabila pilihan raya dibuat secara berasingan, rakyat perlu memohon cuti, mengatur perjalanan pulang, menanggung kos minyak dan tol, selain menyusun semula urusan kerja serta keluarga.
“Jika pilihan raya negeri dan umum dibuat serentak, rakyat hanya perlu melalui proses itu sekali, lebih teratur dan lebih menjimatkan,” ujar AMK negeri itu.
Tambahnya, dalam situasi ketidaktentuan ekonomi global ketika ini termasuk perang di Timur Tengah yang menjejaskan harga minyak dan rantaian bekalan, Malaysia perlu lebih berdisiplin dalam mengurus perbelanjaan awam.
Sehubungan itu, AMK Johor berpandangan bahawa pelaksanaan pilihan raya secara serentak merupakan langkah lebih bertanggungjawab serta berpihak kepada kepentingan rakyat.
Tambahan pula, ketika krisis di Timur Tengah semakin meruncing dan ketidaktentuan ekonomi global terus menekan harga minyak, rantaian bekalan dan kos sara hidup, Malaysia tidak boleh terus berbelanja seolah-olah tiada kesan kepada negara.
“Inilah masa untuk berjimat cermat dan mengurus wang awam dengan lebih berdisiplin.
“AMK Johor berpandangan bahawa pilihan raya serentak adalah langkah yang lebih lebih bertanggungjawab dan lebih berpihak kepada rakyat.
“Menjimatkan rakyat, menjimatkan masa rakyat, dan lebih banyak peruntukan boleh disalurkan kepada perkara yang benar-benar mustahak,” menurut kenyataan itu lagi.
Sebelum ini, pemerhati dan penganalisis politik meramalkan PRU16 diadakan tahun ini ketika tempoh penggal masih berbaki lebih setahun.
Ada penganalisis berpendapat tempoh terbaik melaksanakan PRU16 adalah pada April ini.
Namun, ketidaktentuan politik dunia akibat perang Amerika Syarikat (AS)-Israel dan Iran dilihat mempengaruhi penentuan pilihan raya di negara ini.
BACA JUGA ‘Terima kasih PM, dalam mimpi pun tidak terbayang ada jambatan yang boleh dilalui kereta’