Ekoran perang Timur Tengah: DBKL potong sewa penjaja 50%, bantu rakyat bandar

Lebih 10,000 penjaja dan peniaga kecil di Kuala Lumpur bakal menikmati kelegaan besar apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan pengurangan kadar sewaan sebanyak 50 peratus bagi tapak penjaja dan premis tertentu di bawah seliaannya.

Langkah itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, yang berkata inisiatif tersebut akan berkuat kuasa bermula 1 April 2026 sehingga 31 Disember 2027.

Pengurangan sewa ini dilihat sebagai satu langkah penting untuk membantu peniaga kecil yang semakin tertekan dengan peningkatan kos sara hidup dan kos operasi.

Menurut Hannah, keputusan itu dibuat susulan ketidaktentuan ekonomi global yang turut memberi kesan kepada kenaikan harga minyak dunia serta kos logistik yang akhirnya memberi tekanan kepada peniaga kecil di bandar.

“Inisiatif ini sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos operasi yang dihadapi penjaja dan peniaga mikro di bandar,” katanya ketika mengumumkan perkara tersebut pada sidang media di Pusat Penjaja Permaisuri, Kuala Lumpur.

Beliau turut menegaskan bahawa langkah tersebut menjadikan DBKL antara pihak berkuasa tempatan pertama di Malaysia yang melaksanakan pengurangan kadar sewa secara menyeluruh pada skala besar bagi membantu golongan peniaga kecil.

Di bawah pelaksanaan baharu ini, potongan sewa sebanyak 50 peratus akan diberikan kepada penyewa tapak penjaja dan premis DBKL, namun kadar sewaan minimum ditetapkan pada RM50 sebulan.

Ini bermakna walaupun selepas potongan, kadar sewa yang dikenakan tidak akan lebih rendah daripada jumlah minimum tersebut.

Sebagai contoh, jika kadar sewaan asal ialah RM160, selepas potongan 50 peratus, kadar baharu menjadi RM80.

Namun jika kadar asal RM80, potongan secara matematik menjadikannya RM40, tetapi kadar sewa yang dikenakan tetap RM50 kerana tertakluk kepada kadar minimum yang ditetapkan.

Bagi premis yang kadar sewanya RM50 dan ke bawah pula, kadar tersebut akan kekal seperti sedia ada tanpa sebarang pengurangan.

Jika kadar asal ialah RM30, maka penyewa akan terus membayar RM30 seperti sebelum ini.

Hannah turut menjelaskan bahawa penyewa perlu melangsaikan sebarang tunggakan sedia ada terlebih dahulu sebelum layak menikmati potongan sewa tersebut.

Langkah ini penting kerana terdapat permintaan tinggi daripada pemohon lain yang ingin mendapatkan tapak penjaja dan premis perniagaan milik DBKL.

Beliau menegaskan bahawa inisiatif ini merupakan pendekatan sementara untuk membantu peniaga kecil menghadapi tekanan ekonomi semasa, selain mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan dasar yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Pada masa sama, DBKL akan terus memantau perkembangan kos sara hidup dan bersedia mengambil langkah proaktif agar Kuala Lumpur kekal sebagai bandar yang inklusif, berdaya tahan serta prihatin terhadap kebajikan masyarakat.

BACA JUGA “Make Iran great again”, TIME sindir Presiden Trump