‘Terima kasih PM, dalam mimpi pun tidak terbayang ada jambatan yang boleh dilalui kereta’

Lebih 50 penduduk Kampung Chatel Damai, Lata Rek di Kuala Krai, Kelantan melibatkan tujuh buah rumah, tahun ini menyambut Aidilfitri dengan perasaan paling gembira.

Mana tidaknya, hampir tiga dekad mereka mempertaruhkan nyawa menggunakan titi gantung yang semakin uzur sebelum runtuh pada 1 Januari lalu.

Namun, sejak 11 Mac lalu mereka sudah menarik nafas lega apabila siapnya jambatan baharu yang boleh dilalui kereta sepanjang 36 meter panjang dan tiga meter lebar.

Wan Syukri Wan Isa

Wakil penduduk, Wan Syukri Wan Isa, 54, menzahirkan rasa terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila jambatan keluli dengan kos RM200,000 itu telah siap menjelang Aidilfitri.

“Terima kasih Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kami sudah lama mengidamkan jambatan baharu.

“Dalam mimpi pun tidak terbayang ada jambatan yang boleh dilalui kereta. Duduk berpuluh tahun di sini guna jambatan gantung itu saja sampai runtuh tidak boleh dibaiki lagi.

“Dengan jambatan baru ini bolehlah naik kereta, anak cucu nak balik Hari Raya ni. Mujurlah siap sebelum Hari Raya,” katanya kepada pemberita semalam.

Untuk rekod, jambatan keluli yang mampu menampung kenderaan berat sehingga lima tan itu mula dibina 29 Januari lalu dan siap sepenuhnya dalam tempoh enam minggu sahaja.

Pada 1 Januari lalu, lebih 50 tetamu sebuah majlis perkahwinan terjatuh ke dalam Sungai Chatel Damai di Lata Rek apabila titi gantung yang dilalui tiba-tiba runtuh.

BACA JUGA Cubaan nafi kematian Netanyahu gagal, video terkini ‘kantoi’ lagi guna AI