Trump desak bantuan sekutu NATO, kawasan dekat lapangan terbang Dubai terbakar
Krisis Asia Barat semakin meruncing dengan tentera Amerika Syarikat (AS) dan Israel berterusan melancarkan serangan ke atas Iran.
Beberapa bandar menjadi sasaran serangan, termasuk Tehran, Hamadan dan Isfahan, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap pertambahan jumlah korban.
Angka korban di Iran akibat serangan AS-Israel dilaporkan meningkat kepada 1,045 orang, menurut laporan agensi berita Iran, Tasnim.
Pada masa sama, serangan balas Iran terus berlaku dengan kerosakan dilaporkan di beberapa bandar di Israel.
Wartawan Fox News yang membuat liputan dari Tel Aviv mengesahkan bahawa Iran terus melancarkan peluru berpandu balistik ke arah Israel.
Menurutnya, siren amaran serangan udara terus kedengaran manakala sistem pertahanan udara Tel Aviv melakukan pemintasan sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Presiden AS, Donald Trump pula memberitahu bahawa Washington sedang mengadakan perbincangan dengan Iran, , lapor Al Jazeera.
Namun, dakwanya, Tehran masih belum bersedia untuk mencapai sebarang perjanjian bagi menamatkan perang tersebut.
Trump juga mendesak agar sekutu NATO membantu membuka semula Selat Hormuz, laluan perkapalan penting dunia.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa di Dubai memaklumkan satu insiden dron menyebabkan kebakaran berhampiran lapangan terbang antarabangsa.
Sementara itu, Bahrain, Kuwait, Qatar dan Arab Saudi setakat tengah hari ini, turut melaporkan berjaya memintas dron serta peluru berpandu.
Wilayah selatan Lubnan pula terus menjadi sasaran rejim Zionis apabila melancarkan gelombang serangan baharu dengan mengerahkan kereta kebal dan pasukan tenteranya di sempadan.
Setakat ini, angka korban di Lubnan sudah meningkat kepada 850 orang, termasuk lebih 100 kanak-kanak.
BACA JUGA AMK cadang PRN Johor, Melaka dan PRU dibuat serentak jimat kos hingga RM142 juta