27 barangan dikawal, pengguna nikmati harga stabil sepanjang SHMMP Aidilfitri 2026

FOTO BERITA: Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perataan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2026 bersama YB Datuk Hj. Rizam Ismail EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan & Pengguna dan Tuan Muhamad Hanif Asa’ari, Pengarah KPDN Selangor di Lotus’s Bukit Beruntung, Bandar Bukit Sentosa, Rawang, Selangor. 17hb Mac 2026 (Selasa)

Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2026 terus dipantau rapi menerusi program walkabout yang diketuai oleh Rizam Ismail, EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Negeri Selangor bersama Muhamad Hanif Asa’ari di Lotus’s Bukit Beruntung, hari ini.

Program tersebut diadakan bersempena hari keempat penguatkuasaan SHMMP Aidilfitri 2026 yang mula berkuat kuasa dari 14 hingga 28 Mac ini, susulan pengumuman oleh Armizan Mohd Ali pada 10 Mac lalu.

Skim berkenaan dilaksanakan selama 15 hari merangkumi tujuh hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan tujuh hari selepas perayaan, dengan sebanyak 27 jenis barangan dikenal pasti sebagai barangan harga terkawal tahun ini berbanding 26 pada tahun sebelumnya.

Dalam pemeriksaan yang dijalankan, sebanyak 23 jenis barangan yang dikawal di Semenanjung Malaysia menjadi fokus utama, manakala empat lagi barangan tidak terpakai di kawasan ini. Pemeriksaan tersebut dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Selain itu, pasukan pemantau turut meninjau pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) yang menawarkan diskaun antara 10 hingga 30 peratus bagi barangan terpilih bermula 22 Februari hingga 29 Mac 2026.

Sepanjang tempoh penguatkuasaan SHMMP, pengguna di Selangor menikmati dua manfaat utama iaitu harga terkawal bagi barangan keperluan serta penjimatan tambahan melalui PJRM yang dijadualkan berlangsung di 200 lokasi dengan penglibatan antara 50 hingga 90 jenis barangan.

KPDN Selangor menegaskan bahawa pemeriksaan pematuhan akan terus dipergiat, khususnya melibatkan penggunaan tanda harga khas berwarna merah jambu (pink tag) bagi memudahkan pengguna mengenal pasti barangan terkawal.

Turut diberi perhatian ialah aspek ketepatan alat timbang dan sukat, pematuhan harga maksimum runcit serta kestabilan bekalan di pasaran.

Hasil pemeriksaan mendapati premis yang dilawati menunjukkan tahap pematuhan yang baik dengan kerjasama penuh daripada pihak peniaga, selain kebanyakan barangan dijual pada harga lebih rendah daripada harga maksimum yang ditetapkan.

Sejak tahun 2024 hingga 2026, sebanyak 7,456 premis telah diperiksa melibatkan 493 kes pelanggaran dengan jumlah kompaun melebihi RM60,000.

KPDN Selangor turut memaklumkan bahawa bekalan barangan di negeri ini berada pada tahap mencukupi dan terkawal, justeru orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian panik yang boleh menjejaskan kestabilan pasaran.

Orang ramai juga digalakkan menyalurkan aduan berkaitan salah laku peniaga melalui saluran rasmi KPDN termasuk WhatsApp, aplikasi Ez Adu, talian hotline dan portal e-aduan.
