53 hospital musnah, Iran dedah motif kejam serangan AS-Israel

Sebanyak 53 hospital di Iran musnah sejak bermulanya serangan bersama Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada 28 Februari lalu, dedah Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi.

Beliau menegaskan kemusnahan itu bukan insiden terpencil, sebaliknya menunjukkan pola serangan yang sengaja menyasarkan kemudahan awam sepanjang krisis berkenaan, lapor Bernama memetik agensi berita Mehr.

Abbas berkata, musuh-musuh Iran menuduh tanpa bukti bahawa republik Islam itu menyerang kawasan kediaman dan orang awam.

Namun, beliau menegaskan pihak terbabit sebenarnya terus menyasarkan lokasi awam termasuk sekolah, hospital serta bangunan kediaman.

Tambahnya, serangan AS-Israel ke atas Stadium Azadi di Tehran pada 5 Mac lalu yang mengakibatkan kemalangan jiwa dalam kalangan komuniti sukan Iran jelas menggambarkan pengabaian terhadap norma antarabangsa.

Beliau menegaskan musuh Iran sengaja menyasarkan kawasan awam tanpa menghiraukan keselamatan orang ramai.

BACA JUGA Ini sebabnya kerajaan beri satu hari kelepasan am tambahan sempena Aidilfitri