Catat agihan tertinggi dalam tempoh 8 tahun, TH umum dividen 3.5 peratus

Lembaga Tabung Haji (LTH) hari ini mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, sekali gus merekodkan jumlah tertinggi dalam tempoh lapan tahun.

Agihan ini lebih tinggi berbanding 3.25 peratus pada tahun 2024, mencerminkan prestasi kewangan yang lebih baik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, agihan itu melibatkan RM3.22 bilion yang memberi manfaat kepada lebih 9.7 juta pendeposit di seluruh negara.

“Agihan keuntungan tersebut ditetapkan selepas mengambil kira zakat sebanyak 2.577 peratus berjumlah RM95.3 juta bagi pihak pendeposit kepada Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN).

“Agihan ini dibuat selaras dengan Akta Tabung Haji 1995, selepas penyata kewangan TH bagi tahun 2025 selesai diaudit oleh Jabatan Audit Negara,” katanya hari ini.

TH mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM4.64 bilion pada 2025, berbanding RM4.56 bilion pada 2024.

Aset pelaburan meningkat daripada RM95.06 bilion kepada RM96.37 bilion, mencerminkan pertumbuhan portfolio berterusan dengan mengekalkan struktur alokasi aset yang seimbang.

“Pengurusan kos yang berdisiplin serta pengurusan portfolio berhemat di bawah kerangka Alokasi Aset Strategik (SAA) adalah antara penyumbang utama kepada prestasi TH tahun ini.

“Senario ekonomi tempatan yang kian bertambah baik turut memberi impak positif,” katanya.

BACA JUGA Pemimpin Melayu DAP tegur tindakan Kulasegaran, seru elak cetus persepsi campur tangan