Hannah Yeoh Umum Inisiatif Baharu Perkasa Akses dan Rehabilitasi di Hospital Rehabilitasi Cheras

FB Live… Lawatan dan Sidang Media oleh YBM Hannah Yeoh mengenai inisiatif baharu yang memberi fokus akses, kesejahteraan komuniti dan pemerkasaan pesakit rehabilitasi. Turut hadir YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail; Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan YB Tan Kok Wai Ahli Parlimen Cheras di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC), Kuala Lumpur. 18hb Mac 2026 (Rabu)

CHERAS, 18 Mac 2026 (Rabu) — Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh hari ini mengumumkan beberapa inisiatif baharu yang memberi tumpuan kepada aspek akses pengangkutan, kesejahteraan komuniti serta pemerkasaan pesakit rehabilitasi dalam satu lawatan dan sidang media di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC), Kuala Lumpur.

Lawatan tersebut turut dihadiri oleh Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak serta Tan Kok Wai, Ahli Parlimen Cheras.

Dalam pengumuman itu, Hannah memaklumkan bahawa bermula 1 April 2026, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memperluaskan laluan percuma bas Go KL City Bus bagi laluan GOKL11 (MRT Maluri – Bandar Tun Razak) dengan menyediakan hentian baharu di dalam kawasan Hospital Rehabilitasi Cheras.

Menurut beliau, langkah tersebut bertujuan meningkatkan akses pengangkutan awam kepada pesakit, waris serta warga kota yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan, khususnya golongan warga emas yang dijangka mencecah 11.7 peratus daripada populasi menjelang tahun 2030.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian usaha Jabatan Wilayah Persekutuan untuk merakyatkan fasiliti kerajaan supaya kemudahan kesihatan bukan sahaja tersedia, tetapi benar-benar boleh diakses oleh semua, terutama warga emas dan pesakit yang berdepan cabaran mobiliti di Kuala Lumpur,” katanya.

Hannah berkata, Hospital Rehabilitasi Cheras merupakan satu-satunya hospital rehabilitasi khusus di ibu negara yang menyediakan perkhidmatan pemulihan komprehensif kepada pesakit pasca kecederaan, strok serta penyakit kronik.

Tambah beliau, peranan hospital itu amat penting dalam membantu pesakit memulihkan fungsi fizikal, meningkatkan mobiliti serta memperbaiki kualiti hidup mereka melalui program pemulihan yang sistematik.

Pada masa sama, HRC juga akan melaksanakan Program Kesejahteraan Geriatrik dan Komuniti Warga Emas Zon Cheras di kawasan padang hospital sebagai sebahagian usaha memperkukuh sokongan komuniti kepada pesakit dan warga emas di Kuala Lumpur.

Program tersebut menggabungkan elemen rehabilitasi, aktiviti fizikal serta penglibatan komuniti melalui beberapa inisiatif utama termasuk program kesedaran mengenai pencegahan dan penjagaan kesihatan, penyediaan kemudahan terapi luar bagi latihan mobiliti, keseimbangan dan stamina, serta penggunaan padang hospital sebagai ruang komuniti aktif untuk aktiviti riadah dan kesihatan.

Beliau menegaskan bahawa sebagai sebuah bandar raya dengan kepadatan penduduk yang tinggi, pendekatan tersebut penting bagi memastikan setiap aset kerajaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan warga Kuala Lumpur.