Kementerian Pertahanan perjelas 2 kapal tentera laut AS singgah sementara bagi urusan logistik
Kementerian Pertahanan hari ini menjelaskan bahawa kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), Pulau Pinang dari 14 hingga 16 Mac lalu merupakan persinggahan sementara atau port of call.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, port of call oleh kapal tentera laut asing di pelabuhan Malaysia telah lama menjadi amalan dalam hubungan pertahanan serta pelayaran antarabangsa.
Tegas beliau, ini merupakan sebahagian daripada aktiviti diplomasi pertahanan bagi meningkatkan keyakinan serta memelihara kedaulatan dan keutuhan wilayah negara.
“Tujuan utama port of call adalah bagi membolehkan kapal melaksanakan urusan logistik seperti ulang bekal, penyelenggaraan ringan serta peluang berehat untuk anak kapal.
“Malaysia mempunyai prosedur dan dasar yang jelas berkaitan kehadiran kapal tentera laut asing di pelabuhan komersial atau pangkalan laut.
“Setiap permohonan untuk berlabuh di pelabuhan Malaysia perlu dikemukakan melalui saluran rasmi dan tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Khalid berkata, port of call seperti ini berlaku secara berkala melibatkan kapal tentera laut dari pelbagai negara, termasuk negara-negara rakan dan berkepentingan yang melalui laluan perairan negara sama ada Selat Melaka atau Laut China Selatan.
Ia tujuan eksesais dua hala atau pelbagai hala serta misi antarabangsa dalam memastikan kestabilan serantau dan keamanan sejagat seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.
Sepanjang tahun 2025, Malaysia menerima sebanyak 75 kunjungan kapal tentera laut asing dari 14 negara melalui persinggahan pelabuhan, antaranya Australia, Bangladesh, Britain, Brunei, China, India, Indonesia, Itali, Jepun, Kanada, Korea Selatan, Perancis, Singapura dan Amerika Syarikat.
BACA JUGA Ringgit tertinggi dalam tempoh 5 tahun berbanding dolar Singapura, boleh ke capai RM3 tahun ini?