NGO wakili India & Melayu gesa henti main isu perkauman, cari jalan damai

Dalam usaha meredakan ketegangan semasa yang dikhuatiri boleh menajamkan lagi hubungan sesama kaum, sebuah badan bukan kerajaan yang mewakili suara India dan Melayu menggesa semua pihak untuk menghentikan segala isu perkauman yang berbangkit.

Gesaan itu dibuat menerusi satu sesi dialog yang menghimpunkan wakil beberapa NGO, di mana mereka sependapat bahawa pendekatan rundingan secara terbuka perlu dijadikan keutamaan bagi mencari titik persamaan dalam menangani sebarang konflik yang timbul.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata pertemuan tersebut membuka ruang kepada kedua-dua komuniti untuk berinteraksi dan berbincang secara langsung tanpa dipengaruhi pihak luar.

“Kita berusaha memadamkan titik panas yang melanda ketika ini. Kita akan berdialog dan berbincang antara satu sama lain, bukan lagi melihat kepada komentar pihak ketiga atau provokasi orang lain.

“Ini adalah langkah permulaan dan kita mahu bergerak ke hadapan,” katanya memetik laporan BH hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi dialog menerusi Program Harmoni MADANI yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan Persatuan Agama Hindu Malaysia (MAHIMA), Datuk N Sivakumar, berkata pertemuan itu amat penting bagi mencari penyelesaian damai.

Katanya, antara cadangan yang dikemukakan adalah penubuhan sebuah jawatankuasa khas di bawah Jabatan Perdana Menteri serta pelaksanaan audit tanah membabitkan rumah ibadat.

“Usaha hari ini adalah untuk mencari satu penyelesaian damai di antara komuniti Melayu dengan komuniti India. Ini rundingan pertama di peringkat awal dan kita bersetuju supaya perundingan meja bulat diadakan bagi membatasi isu sensitif seperti isu kaum dan pembinaan tanpa izin.

“Kita juga mencadangkan satu jawatankuasa di bawah Jabatan Perdana Menteri serta audit tanah untuk mendapatkan data yang jelas,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua pihak menginginkan hidup dalam negara yang harmoni dan tidak sewajarnya perpaduan serta perdamaian dipertaruhkan angkara segelintir individu tidak bertanggungjawab.

“Sebenarnya, kita memang hidup sebagai dalam satu negara, Malaysia yang harmoni. Tetapi disebabkan satu atau dua orang, disebabkan mulut dan tangan mereka, kita harus lupakan mereka sebaliknya kita mencari perdamaian,” katanya.