Pemimpin Melayu DAP tegur tindakan Kulasegaran, seru elak cetus persepsi campur tangan
Empat pemimpin Melayu DAP sama sekali tidak bersetuju dengan tindakan M. Kulasegaran hadir ke mahkamah bertemu dengan individu kontroversi, Arun Doraisamy ketika prosiding berlangsung.
Mereka menegaskan bahawa tindakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu mengundang polemik awam, khususnya berkaitan persepsi terhadap integriti sistem perundangan negara.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali, Young Syefura Othman, Syahredzan Johan dan Syerleena Abdul Rashid.
“Kami ambil maklum tentang penjelasan beliau mengenai isu ini, namun kedudukan beliau dalam kerajaan menuntut tahap kepekaan yang lebih tinggi terhadap persepsi awam, khususnya berkaitan prinsip bahawa keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi juga perlu dilihat dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, keempat-empat wakil rakyat terbabit menjelaskan bahawa tiada sebarang keputusan rasmi parti berhubung isu berkenaan, sekali gus menegaskan bahawa sebarang tindakan solidariti terhadap Arun tidak mewakili pendirian DAP.
Semalam, Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat berkata, dia hanya bertemu secara ringkas dengan Arun di luar Mahkamah Majistret Jawi dan memberi kata-kata semangat supaya individu berkenaan mempercayai proses perundangan yang bakal dihadapi.
Menurut Kulasegaran yang pernah menyebut orang Melayu adalah pendatang, manakala orang India sebagai penduduk asal Tanah Melayu, dia mengenali Arun sejak mewakili Indira Gandhi dalam cabaran undang-undang berkaitan anak-anaknya.
Mengulas lanjut, kumpulan pemimpin itu menyatakan bahawa DAP perlu mengambil pendekatan jalan tengah dengan mempertahankan prinsip keadilan serta konsep “innocent until proven guilty”, sambil memastikan keabsahan proses undang-undang terus dihormati.
Mereka turut mengingatkan agar sebarang tindakan yang boleh menimbulkan persepsi campur tangan atau keberpihakan dielakkan demi menjaga keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman.
Sikap sambil lewa
Sebelum ini, Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemerkasaan Agama PKR, Amidi Abdul Manan menyifatkan kehadiran Kulasegaran walaupun atas kapasiti peribadi, boleh mengundang pelbagai tafsiran dan menjejaskan persepsi awam terhadap kerajaan memandangkan statusnya sebagai timbalan menteri dalam kerajaan MADANI.
Sementara itu, Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin pula membidas alasan ‘sekadar singgah’ yang diberikan Kulasegaran.
Danish menegaskan penjelasan bekas Naib Pengerusi Kebangsaan DAP itu bukan sahaja lemah, bahkan memperlihatkan sikap sambil lewa terhadap prinsip pemisahan kuasa dalam negara.
Tambahnya, kegagalan Kulasegaran untuk segera mengakui kesilapan dan mengambil tanggungjawab sebagai satu bentuk keangkuhan politik yang tidak selari dengan prinsip akauntabiliti dan ketelusan.
Justeru, Danish mendesak Kulasegaran segera memohon maaf secara terbuka kepada rakyat serta mengambil tanggungjawab penuh terhadap tindakannya.
Sabotaj kerajaan
Turut tidak bersetuju dengan tindakan Kulasegaran itu, adalah pemimpin AMANAH.
Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk berjawatan dalam kabinet harus mengambil sikap bebas daripada kes-kes membabitkan pihak atau individu yang bermain dengan isu perkauman.
“Biarlah undang-undang yang memutuskan sama ada yang dituduh bersalah ataupun tidak.
“Prinsip keharmonian kaum mengatasi kepentingan politik dan peribadi,” tegasnya dalam satu kenyataan tanpa menyebut secara langsung nama Kulasegaran.
Ketua Pemuda AMANAH, Hasbie Muda pula menyifatkan pertemuan Kulasegaran dan Arun di kompleks mahkamah Ketika prosiding sedang berlangsung sebagai sabotaj kepada PH dan kerajaan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tindakan Kulasegaran adalah sabotaj kepada PH dan Kerajaan Madani. Memalukan!” tegas Hasbie.
Arun, 56, atau nama sebenarnya Arumugam Dorasamy, antara empat individu yang dituduh di mahkamah berasingan di beberapa lokasi semalam kerana mengeluarkan kenyataan hingga mencetuskan perdebatan berbaur provokasi berhubung isu agama dan perkauman.
Tiga individu lain adalah Zamri Vinoth di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur; Tamim Dahri (Mahkamah Majistret Langkawi, Kedah) dan P. Mahendra Bhoopaty (Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan).
Polis membuka kertas siasatan terhadap Arun selepas menerima laporan berhubung kes itu di Batu Kawan, Pulau Pinang pada 12 Mac 2025 berkaitan video di aplikasi WhatsApp yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan melalui video dimuat naik di Instagram miliknya.
BACA JUGA Walau tengah perang, dunia melihat Malaysia