‘Tunggang’ nama kebajikan, SPRM bongkar kes seleweng dana NGO makin melonjak
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan peningkatan kes penyelewengan yang membabitkan dana awam, termasuk derma dan infak kebajikan.
Lebih lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berasaskan kutipan bantuan kini disiasat termasuk pertubuhan yang mengutip sumbangan atas nama Palestin.
Selain NGO, individu termasuk pempengaruh media sosial turut dikesan aktif mengutip dana dan infak daripada orang ramai kononnya bagi tujuan kebajikan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata, aktiviti kutipan dana awam atau crowdfunding kini semakin berleluasa, sekali gus membuka ruang kepada penyelewengan berikutan ketiadaan mekanisme semak dan imbang yang telus.
“Ramai beranggapan dana awam hanya membabitkan dana kerajaan, namun dalam siasatan SPRM, badan seperti NGO kebajikan yang menyeleweng dana daripada masyarakat juga boleh dikenakan tindakan.
“Siasatan mendapati pihak terbabit biasanya memperoleh keuntungan segera sehingga mencecah jutaan ringgit melalui dana yang disumbangkan kepada NGO berkenaan,” katanya, dipetik BH.
Menurutnya, sejumlah besar dana bahkan dikesan dipindahkan ke akaun peribadi yang dipercayai milik pengurusan tertinggi badan terbabit.
“Situasi ini amat menyedihkan kerana orang ramai menyumbang atas nama kebajikan dan agama,” ujarnya.
Beliau menambah, aktiviti jenayah itu turut berkembang pesat dengan kewujudan platform media sosial seperti TikTok dan Facebook yang memudahkan kutipan dana dilakukan oleh sesiapa sahaja.