Walau tengah perang, dunia melihat Malaysia
Malaysia sudah pun menonjol berbanding negara di Asia Tenggara lain sebagai pilihan baharu pelabur global sejak sebelum perang di Iran mencetuskan lonjakan harga tenaga.
Lapor The Edge, Malaysia terus menjadi pilihan pelabur susulan kestabilan politik dan pelaburan dalam sektor pembuatan bernilai tinggi serta pusat data ketika negara jiran berdepan perubahan kepimpinan dan tekanan fiskal.
Ketegangan di Asia Barat sebaliknya terus mengukuhkan kelebihan Malaysia apabila pelabur mencari pasaran yang lebih berupaya menghadapi ketidaktentuan.
Penanda aras saham negara ini mengatasi prestasi rakan serantau pada bulan ini apabila perang di Iran menggoncang pasaran global, disokong oleh status Malaysia sebagai antara pengeksport tenaga di Asia.
Menurut Ketua Strategi Ekuiti CLSA di Singapura, Alexander Redman, aliran keluar pelabur asing daripada ekuiti tempatan juga kekal sederhana pada Mac, walaupun kebanyakan pasaran Asia sedang pesat membangun menyaksikan jualan besar-besaran.
“Ringgit pula mengekalkan pengukuhan tahun ini berbanding dolar AS, sekali gus mengatasi mata wang serantau lain.
“Malaysia menjadi destinasi ketika keadaan di tempat lain semakin buruk,” katanya yang menaik taraf pasaran Malaysia kepada neutral daripada ‘underweight’ selagi perang di Iran berterusan.
Redman menambah Malaysia berada dalam kedudukan yang agak baik kerana mencatat lebihan akaun semasa selain merupakan pengeksport bersih minyak dan gas selain memiliki Indeks Harga Pengguna (CPI) lebih rendah berbanding negara lain.
BACA JUGA Waytha Moorthy diperintah bayar RM80,000 kepada PM, saman cabar keabsahan Anwar ditolak