Dah masuk peringkat perang tenaga
Oleh DATUK NIK MOHD HASYUDEEN YUSOFF
Dalam peperangan biasanya ada tahap peningkatan (escalation) apabila musuh mengambil tindakan yang dianggap melanggar garis-garis tertentu.
Sebagai contoh, infrastruktur minyak dan gas Iran adalah aset yang kritikal. Sekiranya ianya diserang Iran akan melakukan perkara yang sama kepada musuh.
Apabila kompleks gas Iran di Pars dibom, Iran terus mengeluarkan amaran supaya kompleks-kompleks gas dan minyak berikut dikosongkan sebelum diserang:
- Samref, Arab Saudi
- Al-Hussain, UAE
- Pusat Petrokimia Al Jubail, Arab Saudi
- Pusat Petrokimia Mesaieed, Qatar
- Ras Lafran, Qatar
Anda mungkin tertanya-tanya mengapa senarai ini hanya merangkumi negara-negara Teluk, bukannya Israel yang mengebom Pars tu?
Telahan saya ialah Israel menang dah masuk dalam poket, tak perlu diberikan amaran lagi.
Sebaliknya, senarai di atas adalah negara-negara Islam dan Iran masih beradab di dalam peperangan.
Dah tu mengapa menyerang negara-negara Islam sedangkan mereka tak menyerang Iran?
Orang yang tanya soalan ni mungkin lupa bahawa Iran sudah memberi amaran sebelum perang lagi bahawa mana-mana negara yang membenarkan Amerika Syarikat (AS) beroperasi dari situ dan mengizinkan ruang udara mereka digunakan untuk menyerang Iran dah dikira masuk satu kapal dengan Amerika. Itu tafsiran Iran.
Dari laporan-laporan yang saya baca, sasaran-sasaran di Qatar dan Arab Saudi sudah diserang.
Anda kena cari sendiri berita yang lebih terperinci.
Marahkan Trump
Kesan dari serangan ini ialah terputuskan bekalan minyak, gas dan baja yang amat penting kepada ekonomi dunia.
Saya difahamkan Singapura telah menaikkan harga minyak di pam dua kali dalam satu hari.
Yang lebih penting bagi Iran ialah harga minyak di pam-pam minyak AS. Bila pengundi kena bayar lebih, mereka akan marahkan Trump.
Ramai orang yang tidak sedar bahawa untuk menggangu bekalan, Iran tidak perlu mengebom kompleks penyulingan minyak dan gas, musnahkan sahaja infrastruktur untuk menghantar minyak ke kapal-kapal.
Jika itu rosak, nak baikinya pun boleh memakan masa berbulan-bulan.
Dari pemerhatian saya yang lain juga, AS nampaknya mahu menggunakan pembukaan Selat Hormuz sebagai tanda aras “kemenangan” mereka.
Ini adalah kerana sasaran asal nak menukar rejim dan menghapuskan misil-misil Iran macam dah tak boleh dicapai.
Sekiranya AS dan sekutu-sekutunya meneruskan usaha ini, kita akan memasuki peringkat peperangan yang lebih berdarah.
Ini adalah kerana di dalam sejarah peperangan, pendaratan melalui pantai akan membunuh ramai askar.
Namun, bagi orang yang tersepit seperti Trump sekarang, dia tidak peduli lagi nyawa manusia.
Saya akan cuba menulis berkenaan Perang Ramadhan ini melalui perspektif strategi.
Jadi, hanya ada gambaran besar, yang lebih terperinci pandai-pandailah cari sendiri. Tak kan semuanya perlu disuapkan, kan?
Anda juga bebas untuk tak bersetuju dengan saya. Ini adalah rumusan saya berdasarkan pemerhatian saya.
Anda mungkin nampak sisi lain berdasarkan data dan maklumat yang anda gunakan. Ini jugalah puncaya ada mazhab di dalam agama.
Kita tidak perlu bersetuju di dalam semua perkara.
*DATUK NIK MOHD HASYUDEEN YUSOFF merupakan Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
BACA JUGA NGO Islam-Hindu pilih jalan damai, PM sifatkan cerminan kematangan rakyat