NGO Islam-Hindu pilih jalan damai, PM sifatkan cerminan kematangan rakyat
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik inisiatif perdamaian yang digerakkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) mewakili komuniti Islam dan Hindu, yang disifatkan sebagai mencerminkan tahap kematangan rakyat Malaysia dalam memilih jalan damai.
Beliau berkata, pendekatan itu memperlihatkan penolakan terhadap perpecahan serta mengangkat nilai saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Inilah roh dan jiwa sebenar Malaysia, sebuah negara yang teguh berdiri atas nilai ihsan, kebersamaan dan hormat antara kaum.
“Kebersamaan ini mesti terus kita pelihara dan rangkul sebagai asas kekuatan negara,” katanya menerusi satu kenyataan sebentar tadi.
Semalam, kira-kira 20 wakil Melayu dan 10 wakil India mengadakan sesi dialog menerusi Program Harmoni MADANI yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Antara yang terlibat dalam rundingan pusingan pertama itu adalah Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia Datuk Zainul Rijal Abu Bakar serta Presiden Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan Persatuan Agama Hindu Malaysia (MAHIMA), Datuk N Sivakumar.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berharap inisiatif perdamaian itu dapat terus memperkukuh perpaduan nasional serta menjadi contoh terbaik dalam menyatukan rakyat pelbagai latar belakang di negara ini.
Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), dalam menjayakan usaha tersebut.
“Semoga ikhtiar ini terus menyatukan kita dan menjadi teladan dalam memperkukuh perpaduan nasional,” kata Perdana Menteri lagi.
BACA JUGA Polis perjelas sebab Zamri Vinoth digari