Polis perjelas sebab Zamri Vinoth digari

Tindakan membawa pendakwah kontroversi, Zamri Vinoth ke mahkamah dalam keadaan bergari pada 17 Mac lalu, dilaksanakan mengikut prosedur serta lunas undang-undang sedia ada.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, tangkapan awal terhadap Zamri adalah melibatkan kes mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

Zamri, 42, atau nama sebenarnya Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu turut disiasat mengikut Akta Hasutan yang memerlukan tindakan prosedur berbeza.

“Kesalahan-kesalahan yang kita tangkap sebelum ini berbeza-beza.

“Ada yang boleh dijamin dan ada yang tidak, terutama pada fasa awal tangkapan melibatkan empat kes di Putrajaya, di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

“Pada masa sama, terdapat juga kes di bawah Akta Hasutan yang memerlukan tindakan prosedur berlainan,” katanya pada sidang media di ibu negara, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberi jaminan semua proses dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang dan merupakan amalan biasa dalam sistem perundangan negara.

Kelmarin, Zamri dan aktivis kontroversi Arun Dorasamy antara tiga individu yang dihadapkan ke mahkamah di beberapa negeri atas pertuduhan membuat kenyataan yang menimbulkan kegentaran awam.

Zamri didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur; Arun atau nama sebenarnya Arumugam Dorasamy, 56, pula dituduh di Mahkamah Majistret Jawi manakala pemandu e-hailing P Mahendra Bhoopaty, 53, di Mahkamah Majistret Seremban.

Namun, Zamri dan Arun mengaku tidak bersalah, manakala Mahendra Bhoopaty didenda RM4,000 atau dipenjara tujuh bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan serupa.

BACA JUGA Sabotaj negara: Polis akan panggil 14 individu lagi