Sabotaj negara: Polis akan panggil 14 individu lagi

Seramai 14 individu lagi akan dipanggil dalam masa terdekat bagi dirakam keterangan berhubung dakwaan menjatuhkan kerajaan dan perbuatan sabotaj terhadap kestabilan negara.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, semua individu terbabit sudah dikenal pasti bagi membantu kelancaran siasatan kes berkenaan, lapor Buletin Utama TV3.

“Siasatan masih berjalan dan polis sedang meneliti serta menjalankan beberapa tindakan lanjut. Difahamkan, kira-kira 14 individu lagi akan dipanggil bagi membantu siasatan.

“Setelah semua proses selesai, kertas siasatan akan dilengkapkan dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Ditanya sama ada isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid antara yang akan dirakam percakapan bagi membantu siasatan, beliau enggan mendedahkan perkara itu.

“Saya tidak mahu menyentuh tentang nama-nama individu dan siasatan masih lagi berjalan,” katanya sebagaimana dilaporkan media itu.

Nai’mah sebelum ini menafikan laporan polis yang dibuat mengenai perkara itu yang mengaitkan dirinya.

Sebelum ini media melaporkan, peguam Na’imah, Nizamuddin Hamid antara yang dipanggil polis untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berkenaan.

Seorang lagi peguam yang dinamakan dalam laporan polis itu ialah Amir Zharif Abdullah.

Pada masa sama, Nizamuddin turut menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkannya sebagai pembohongan terbesar.

Polis mengesahkan keterangan 14 saksi sudah dirakam dan sedang giat mengesan beberapa saksi penting yang dipercayai berada di luar negara bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menjatuhkan kerajaan serta perbuatan sabotaj terhadap kestabilan negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar dilaporkan berkata, siasatan kes itu dilaksanakan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan yang merujuk kepada aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Menurutnya, berdasarkan semakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), terdapat saksi-saksi penting telah membuat pergerakan keluar dari Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di antara Januari hingga Februari 2026.

BACA JUGA Pelbagai berita gembira menjelang Hari Raya